Affin Hwang unjur segmen pengurusan sisa imbangi pendapatan Malakoff | DagangNews Skip to main content

Affin Hwang unjur segmen pengurusan sisa imbangi pendapatan Malakoff

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Affin Hwang Capital mengunjurkan pendapatan Malakoff Corporation Berhad akan terus disokong permintaan elektrik yang bertambah baik berikutan pemulihan ekonomi selain pertumbuhan berterusan daripada segmen pengurusan sisanya.

 

Firma itu berkata, perjanjian pembelian kuasa (PPA) untuk tiga daripada enam loji thermal kumpulan termasuk GB3, Prai Power dan Segari Energy Ventures akan tamat dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan sumbangan daripada segmen pengurusan sisa akan mengimbangi kehilangan pendapatan kumpulan itu.

 

"Penamatan PPA adalah kesan negatif kepada kumpulan itu tetapi impaknya adalah minimum dan tidak menghalang kemampuan mereka untuk memberikan dividen," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Campuran hasil kumpulan telah berubah sejak 2019 dengan penambahan perniagaan segmen sisa (daripada pemerolehan Alam Flora).

 

Pada 2019, 97% hasil disumbangkan daripada perniagaan penjanaan berbanding 85% pada 2021.

 

"Pengambilalihan Alam Flora (dengan kos RM869 juta) pada 2019 adalah tepat pada masanya kerana ia berfungsi sebagai pengganti kehilangan hasil daripada tamat tempoh PPA," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan menerusi tenaga elektrik yang dijana dan dijual oleh kumpulan itu dan juga hasil daripada segmen sisanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 78 sen. - DagangNews.com