Untung bersih Gas Malaysia bagi 3QFY24 meningkat kepada RM115.99 juta dipacu jualan, purata harga gas asli tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Gas Malaysia bagi 3QFY24 meningkat kepada RM115.99 juta dipacu jualan, purata harga gas asli tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Untung bersih Gas Malaysia Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Septermber 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM115.99 juta berbanding RM86.16 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong jumlah jualan dan purata harga gas asli yang tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM2.13 bilion berbanding RM1.81 bilion pada 3QFY23.

 

"Keputusan positif itu didorong jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi, purata margin sumbangan gas asli yang lebih tinggi, yuran tol yang lebih tinggi serta sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama.

 

"Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), untung bersih kumpulan itu naik kepada RM328.67 juta berbanding RM279.06 juta tetapi hasil bagi tempoh itu menyusut kepada RM5.98 bilion berbanding RM6.27 bilion pada 9MFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, kerajaan meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.8% hingga 5.3%, disokong oleh permintaan domestik yang mampan dan pemulihan dalam aktiviti eksport.

 

Katanya, memandangkan unjuran pertumbuhan ekonomi, kumpulan kekal komited melaksanakan langkah berhemat untuk meningkatkan kecekapan operasi, kekal berdaya saing, dan mengejar peluang untuk pengembangan perniagaan.

 

"Dengan adanya strategi ini, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan akan mencapai prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan 2024 (FY24)," katanya. - DagangNews.com