KUALA LUMPUR 25 Nov - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini melancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025 (PPUW), sebuah inisiatif pertama kali dilaksanakan untuk memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Program itu yang menawarkan bimbingan keusahawanan berstruktur kepada usahawan veteran, direka untuk membantu veteran dan keluarga mereka mencapai kelestarian kewangan jangka panjang, yang juga sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan dan LTAT bagi membina ekosistem yang lebih inklusif dan mampan khusus untuk golongan berkenaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelancaran program tersebut sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia, khususnya kepada para wira dan wirawati negara selepas bersara.
"Program ini juga merupakan bukti komitmen dan keprihatinan LTAT untuk memperkasa ekonomi warga veteran ATM yang telah banyak berkorban demi kedaulatan Malaysia," katanya semasa merasmikan program itu, di sini hari ini.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi menyatakan, pihaknya memandang serius mandat yang diamanahkan sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk memperkukuhkan jaringan perlindungan sosio-ekonomi anggota ATM.
"Di samping memastikan pemberian dividen yang mampan, komitmen LTAT diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi demi menyokong aspirasi Kementerian Pertahanan.
"Usaha ini merupakan manifestasi keikhlasan LTAT dalam memastikan masa depan yang lebih mampan bagi para pencarum," jelasnya.
Dalam program itu, LTAT bekerjasama dengan People Systems Consultancy (PSC), pakar latihan keusahawanan yang telah melatih lebih 100,000 peserta, di mana lebih 70% berjaya meningkatkan pendapatan mereka dalam jangka masa tiga bulan.
Program perintis bersama LTAT terbabit menyasarkan seramai 35 usahawan veteran B40.
Sepanjang tempoh enam bulan, peserta akan mengikuti program pembangunan kapasiti yang komprehensif, merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor-mentee, pembelajaran dalam talian dan penguasaan literasi kewangan.
Bertunjangkan visi Ekonomi MADANI dan agenda strategik GEAR-uP, LTAT terus memperkukuh komitmennya.
Selain PPUW, inisiatif lain di bawah kerangka Ekonomi MADANI oleh LTAT, termasuk program modul literasi kewangan dan peluang penempatan kerjaya kedua melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), terus memainkan peranan penting dalam membentuk sistem sokongan yang komprehensif untuk komuniti ATM. - DagangNews.com