Agenda ESG dalam kewangan Islam bawa manfaat kepada pelanggan, pelabur | DagangNews Skip to main content

Agenda ESG dalam kewangan Islam bawa manfaat kepada pelanggan, pelabur

Ketua Pegawai Eksekutif CIIF, Dr. Azura Othman

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Penerapan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kewangan Islam akan membawa pelbagai faedah kepada pelanggan dan pelabur serta memberi manfaat kepada pemeliharaan alam sekitar. 

 

Ia merupakan antara perkara yang disimpulkan dalam webinar 'ESG dan Kewangan Islam' anjuran Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF) baru-baru ini untuk membincangkan pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh institusi kewangan Islam dalam pelaksanaan dasar ESG. 

 

Malah, sesi itu juga mengakui terdapatnya kesedaran dan permintaan yang semakin tinggi tentang ESG terutama dalam kalangan generasi baru.

 

Webinar tersebut merupakan satu daripada siri perbincangan yang dinamakan #CIIF.Tallks, yang turut menampilkan pakar-pakar dan figura korporat yang dihormati dalam industri kewangan Islam.

 

Antara yang terlibat dalam sesi itu termasukan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Ahmad Shahriman Mohd Shariff; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd. Muazzam Mohamed, Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Berhad, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif CIIF, Dr. Azura Othman sebagai panelis. 

 

Azura berkata, CIIF begitu reseptif terhadap sebarang perubahan di dalam industri kewangan dan mereka akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti ahli-ahli di institut ini. 

 

Selain itu, katanya, adalah amat penting untuk pihak umum mengetahui tentang perbezaan di antara kewangan Islam dan kewangan konvensional. 

 

"Kesedaran tentang ESG dan data sokongan akan sentiasa ditekankan kepada ahli-ahli CIIF dengan harapan ia dapat melestarikan industri kewangan Islam di tahap optimum. 

 

"Hasil daripada perbincangan ini akan memberi kesan yang besar kepada sebarang proses merangka strategi dan pembuat keputusan pada masa hadapan bagi semua organisasi yang terlibat termasuk CIIF," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Secara dasarnya, institusi kewangan Islam di Malaysia mendahului pesaing global dalam usaha mengintegrasikan ESG dengan pengenalan inisiatif Value-Based Intermediation (VBI) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2017. 

 

Bertepatan dengan situasi semasa, kebanyakan konsep serta pandangan yang diutarakan oleh panelis berkisar tentang cara-cara untuk meningkatkan lagi prestasi industri dan terus berdaya tahan ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik. 

 

Para peserta menerima perspektif mendalam tentang peluang yang boleh memacu prestasi Malaysia di pentas dunia melalui adaptasi ESG di dalam perniagaan dan juga kepentingan data dalam pelaksanaannya. 

 

Penyertaan pengamal industri yang berkaliber dari industri perbankan dan organisasi lain amat memberi impak kepada perbincangan tersebut, justeru, menyemarakkan lebih banyak idea tentang peluang yang boleh direbut. 

 

Dalam kenyataan itu juga, CIIF percaya Malaysia mempunyai kemampuan besar untuk mengasah bakat-bakat baru di dalam industri kewangan Islam. 

 

"Ini bukan sahaja untuk memenuhi kehendak pasaran semasa malah mengukuhkan lagi kedudukan negara ini sebagai antara pembekal utama ahli-ahli profesional yang berkualiti tinggi di dalam industri," jelasnya. - DagangNews.com