Ageson peroleh kontrak pembinaan bernilai RM76 juta daripada Mateen Group di Sepang | DagangNews Skip to main content

Ageson peroleh kontrak pembinaan bernilai RM76 juta daripada Mateen Group di Sepang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat Nota Amalan 17 (PN17), Ageson Bhd memperoleh kontrak bernilai RM75.67 juta bagi menjalankan projek pembinaan di daerah Sepang, Selangor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek yang dianugerahkan oleh syarikat pembinaan Mateen Group Sdn Bhd itu adalah untuk pembinaan bangunan utama di Kampung Limau Manis di atas tanah rizab Melayu berhampiran Putrajaya.

 

Ageson bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai bangunan itu.

 

Menerusi kontrk itu, mereka bertanggungjawab menyediakan tenaga kerja, bahan, alatan, peralatan dan jentera untuk projek itu, dengan kontrak dijangka bertahan selama 42 bulan selepas mendapat kelulusan pelan bangunan.

 

"Kontrak itu dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih yang disatukan.

 

"Ini adalah kontrak pembinaan kedua Ageson yang diperoleh dalam tempoh dua minggu selepas subkontrak pembinaan bernilai RM54.33 juta baru-baru ini untuk servis apartment 40 tingkat di Sabah pada 29 Mei lalu," katanya.

 

Ageson diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada November 2023, disebabkan kebimbangan yang ditunjukkan oleh juruaudit luarnya, Jamal, Amin & Partners, mengenai penghutang, hasil anak syarikat dan penilaian asetnya. 

 

Syarikat itu mempunyai masa sehingga November tahun ini untuk menyerahkan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Ageson melaporkan keuntungan bersih RM2.65 juta, atau 85 sen sesaham, untuk tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2024, atas pendapatan RM6.94 juta, terutamanya daripada segmen pembinaannya.

 

Bagi tempoh 15 bulan berakhir 31 Mac 2024, Ageson mencatatkan keuntungan bersih RM3.94 juta, dengan pendapatan RM36.24 juta.

 

Disebabkan oleh perubahan pada akhir tahun kewangannya dari 30 Jun 2022 kepada 31 Disember 2022, tiada maklumat kewangan perbandingan untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.- DagangNews.com