Ageson, Zhejiang Guorong Digital Economy Group tamat perjanjian pelupusan tanah bernilai RM278.7 juta di Perak | DagangNews Skip to main content

Ageson, Zhejiang Guorong Digital Economy Group tamat perjanjian pelupusan tanah bernilai RM278.7 juta di Perak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Perjanjian pelupusan tanah perindustrian seluas 67.9 hektar bernilai RM278.7 juta di Perak yang dimeterai Ageson Berhad bersama syarikat China, Zhejiang Guorong Digital Economy Group Ltd (ZGDEG) telah ditamatkan.

 

Perjanjian yang dimeterai antara anak syarikat milik Ageson iaitu, Ageson Holdings Sdn. Bhd. (AHSB) dan ZGDEG, yang mencadangkan pembinaan 33 lot perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM278.7 juta, telah ditamatkan secara bersama.

 

"Perjanjian itu akan ditamatkan serta-merta dan tidak lagi boleh dikuatkuasakan," kata syarikat pembinaan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, penamatan bersama itu adalah disebabkan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk pembangunan yang dicadangkan.

 

Katanya, perjanjian penjualan dan pembangunan itu tertakluk kepada kelulusan pembinaan yang diperlukan daripada majlis daerah Batang Padang dan pejabat tanah, serta Kerajaan Persekutuan.

 

Tanah seluas 67.9 hektar itu adalah sebahagian daripada petak lebih besar 192 hektar milik Menteri Besar Inc (MBI) Perak.

 

Syarikat milik kerajaan negeri itu memberikan hak pembangunan eksklusif AHSB untuk menjalankan projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada bangunan agensi kerajaan dan unit pentadbiran, perindustrian, komersial dan kediaman mengikut budi bicara mutlaknya namun ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.

 

Berdasarkan perjanjian hak pembangunan dengan MBI Perak, AHSB akan membayar 20% daripada nilai pembangunan kasar (GDV) bagi pembangunan yang dicadangkan. 

 

Berhubung penjualan 33 lot perindustrian yang dicadangkan, syarikat itu perlu membayar RM72 juta kepada MBI Perak.

 

AHSB sebelum ini berkata ia akan membiayai kerja-kerja pembinaan pembangunan melalui bayaran kemajuan yang akan diterima daripada ZGDEG.

 

Bagi tempoh 18 bulan berakhir 31 Disember 2022, Ageson mencatatkan kerugian bersih yang besar sebanyak RM165.95 juta atas hasil sebanyak RM52.17 juta.

 

Aset syarikat berjumlah RM367.41 juta, manakala liabiliti berjumlah RM129.38 juta. - DagangNews.com