Ge-Shen terima kelulusan pemegang saham pelbagaikan perniagaan dalam industri EMS | DagangNews Skip to main content

Ge-Shen terima kelulusan pemegang saham pelbagaikan perniagaan dalam industri EMS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Ge-Shen Corporation Bhd menerima kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) serta pemerolehan Local Assembly Sdn Bhd semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, kelulusan itu menandakan kemajan penting dalam inisiatif mereka mengukuhkan pertumbuhan perniagaan.

 

Katanya, strategi itu melibatkan integrasi EMS ke dalam rangkaian rumusan pembuatan sedia ada termasuk acuan suntikan plastik, kejuruteraan ketepatan, serta reka bentuk dan prototaip. 

 

Penambahan ini dijangka mengubah Ge-Shen menjadi rakan pembuatan yang lebih serba boleh, berupaya menawarkan rumusan menyeluruh merentasi pelbagai industri seperti automotif, elektronik pengguna, dan peranti perubatan.

 

Pemegang saham meluluskan pemerolehan 40% kepentingan ekuiti dalam Local Assembly Sdn Bhd, syarikat EMS tempatan, dengan nilai RM48 juta daripada pemegang saham sedia ada, iaitu Chai Voon Sun, Gurmakh Singh A/L Ajmer Singh, dan Wee Thian Song. 

 

Pemerolehan ini disertakan dengan jaminan minimum keuntungan bersih sebanyak RM24 juta daripada LA bagi tahun kewangan berakhir 2024 (FY24) dan 2025 (FY25).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ge-Shen, Dr. Adrian Foong Hong Nian berkata, kepelbagaian perniagaan ke dalam EMS akan mengukuhkan perniagaan pembuatan teras dan meletakkan mereka untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor itu.

 

"Pemerolehan LA bukan sahaja akan mempelbagaikan pangkalan pelanggan kami tetapi juga membolehkan kami memasarkan perkhidmatan pembuatan lain, menjadikan kami sebagai penyedia perkhidmatan pembuatan sehenti dalam industri,” katanya.

 

Dalam EGM hari ini, pemegang saham turut meluluskan cadangan penempatan persendirian yang melibatkan penerbitan sehingga 39,595,000 saham penempatan yang mewakili tidak lebih daripada 30% daripada saham terbitan yang diperbesarkan Ge-Shen.- DagangNews.com