Perkembangan produk pembungkusan inovatif diramal pacu perluasan bahagian pasaran Thong Guan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Perkembangan produk pembungkusan inovatif diramal pacu perluasan bahagian pasaran Thong Guan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Kenanga Research menjangkakan perkembangan produk pembungkusan inobatif akan menjadi pemacu kepada perluasan bahagian pasaran Thong Guan Industries Bhd.

 

Katanya, bahagian filem regangannya menyumbang separuh daripada jualan kumpulan dan ia dilihat kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama pada tahun-tahun akan datang.

 

"Dengan menggunakan teknologi filem regangan nano, produk kumpulan yang lebih nipis tetapi lebih kukuh kerana menggunakan kurang resin adalah lebih menjimatkan kos dan membolehkannya mendapatkan pelanggan baharu selain perkembangan dua digit di Amerika Syarikat (AS). 

 

"Walaupun hanya memiliki pegangan kurang 5% di pasaran Eropah dan AS, kumpulan itu percaya terdapat ruang besar untuk pengembangan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang meningkatkan pengeluaran bahagian beg industrinya disebabkan peningkatan pesanan pada produk pembungkusan untuk produk seperti roti , minyak dan gula.

 

Katanya, segmen itu menyumbang 18% kepada pendapatannya pada 2QFY24, meningkat daripada 17% tahun sebelumnya.

 

Pentauliahan barisan hud regangan baharu meningkatkan kecekapan pengeluaran, kerana ia membolehkan barisan sedia ada memberi tumpuan kepada pengeluaran filem.

 

"Syarikat itu mempromosikan filem pembungkusan kepada pembekal tempatan bagi menggabungkan produk seperti botol air mineral, menawarkan faedah seperti kos pengangkutan yang lebih rendah dan kebolehkitar semula yang lebih baik berbanding kotak karton tradisional," katanya.

 

Kenanga Research berkata, walaupun menghadapi permintaan yang lemah, pihaknya menganggarkan Thong Guan mendahului pesaingnya dalam menguruskan potensi halangan seperti tekanan harga pengukuhan ringgit dan kos gaji yang lebih tinggi melalui kecekapan operasi yang lebih baik dan campuran jualan yang lebih baik.

 

"Permintaan dalam pasaran Jepun, yang kami anggarkan sekitar 15% hingga 20% daripada jumlah jualan, juga telah meningkat, dirangsang oleh yen Jepun yang lebih kukuh dan perbelanjaan pengguna yang lebih baik, meningkatkan jualan beg sampah dan beg dapur, meningkatkan kadar pengulangan semasanya kepada 70%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.80 sesaham.- DagangNews.com