Agihan keuntungan Tabung Haji kekal 3.1% pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Agihan keuntungan Tabung Haji kekal 3.1% pada 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.1% setelah mengambil kira zakat 2.57%. 

 

TH dalam kenyataan berkata, agihan keuntungan itu melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH. 

 

"Agihan kentungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34% dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit," katanya.

 

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar mengumumkan agihan keuntungan tersebut pada sidang media di TH hari ini.

 

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pihaknya mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan lokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu. 

 

"Alhamdulillah, usaha ini telah membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan yang berpatutan bagi tahun kewangan 2022," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin pula berkata, keadaan persekitaran pelaburan tahun 2022 adalah mencabar bagi semua institusi pelaburan, termasuk TH. 

 

 

th

 

 

Katanya, pasaran saham domestik dan global terjejas melebihi 10%, manakala pasaran modal pula terkesan dengan kenaikan agresif kadar pembiayaan. 

 

"TH telah mengambil langkah meminimakan risiko supaya modal pelaburan terpelihara dan tidak terlalu terjejas. Kami akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi operasi, tadbir urus dan kedudukan kewangan dalam persekitaran ekonomi dan pasaran yang tidak menentu ini," katanya.

 

 

th

 

 

Pengiraan agihan keuntungan tahunan 2022 adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

 

Agihan keuntungan 2022 adalah setelah TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini. 

 

 

th

 

 

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari pada 29 April 2023 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic. 

 

Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam pada 28 April 2023 sehingga 12 tengah hari pada 29 April 2023, bagi melancarkan urusan pengkreditan agihan keuntungan. - DagangNews.com