Agmo Holdings sasar kumpul RM22.1 juta menerusi IPO di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Agmo Holdings sasar kumpul RM22.1 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Agmo Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Ogos 2022 menyasarkan untuk mengumpul RM22.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pakar pembangunan aplikasi dan penyelesaian digital tempatan itu berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam 85 juta saham pada harga terbitan 26 sen sesaham.

 

Daripada 85 juta saham baharu, 16.25 juta saham akan disediakan untuk orang awam Malaysia, manakala 62.25 juta saham akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. 

 

Sejumlah 6.5 juta saham akan disediakan untuk pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan rakan perniagaan kumpulan itu.

 

Kumpulan itu akan memperuntukkan sejumlah RM9.47 juta daripada hasil itu untuk penyelidikan dan pembangunan, jualan, pemasaran dan pembangunan perniagaan.

 

Sebanyak RM6.22 juta akan digunakan sebagai modal kerja dan perbelanjaan pengembangan syarikat dan RM2.54 juta akan digunakan untuk membina pusat latihan serta pembangunan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong berkata, sejumlah RM690,000 akan digunakan untuk pengembangan di Singapura dan baki RM3.18 juta akan digunakan untuk tujuan penyenaraian.

 

"Kami bersedia untuk perkembangan seterusnya dan kami akan melebarkan penawaran penyelesaian digital kami.

 

"Kami menjangkakan permintaan untuk pendigitalan akan terus meningkat di Malaysia, berikutan keperluan yang semakin meningkat untuk transformasi digital perniagaan dan ia termasuk penggunaan aplikasi mudah alih dan web untuk kekal berdaya saing dan relevan dalam industri masing-masing," katannya.

 

Menurutnya, industri pembangunan aplikasi mudah alih dan web di Singapura dijangka meneruskan trajektori pertumbuhan yang kukuh didorong oleh tingkah laku pengguna yang didigitalkan dan keterikatan kepada peranti mudah alih oleh orang ramai.

 

"Peluasan wilayah iniakan meningkatkan lagi profil perniagaan Agmo di rantau ini," katanya.

 

Kenanga Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com