Agoda peruntuk AS$1 juta bantu pemuliharaan hidupan liar WWF di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Agoda peruntuk AS$1 juta bantu pemuliharaan hidupan liar WWF di Asia Tenggara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Agoda, platform pelancongan digital global, memperluaskan kerjasama dengan World Wide Fund for Nature (WWF) dengan memperuntukan sebanyak AS$1 juta bagi pemuliharaan hidupan liar.

 

Agoda berkata, inisiatif itu diumumkan pada Forum Pelancongan ASEAN (ATF) ke-27 di Vientiane, Laos, sempena pelancaran 'Program Eco Deals' untuk menyokong lapan projek pemuliharaan merentasi Asia Tenggara baru-baru ini.

 

Katanya, ia juga bagi menyokong usaha pemuliharaan pejabat WWF tempatan, termasuk tuan rumah Laos, serta Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. 

 

"Serupa dengan edisi program sebelumnya, Agoda akan menderma AS$1 untuk setiap tempahan hotel yang dibuat ke atas hotel yang menyertai inisiatif tersebut. 

 

"Dana ini akan menyokong pelbagai projek pemuliharaan WWF merangkumi usaha pemuliharaan marin, hutan dan hidupan liar, termasuk perlindungan harimau di Malaysia, jerung paus di Filipina dan gajah di Thailand. 

 

"Program Eco Deals ini sedang menerima penyertaan rakan kongsi penginapan secara aktif dan akan dibuka kepada pengguna pada 3 Mac 2024 dan berlangsung sehingga 3 Disember 2024," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern berkata, pihaknya sedar mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha pemeliharaan destinasi. 

 

 

agoda

 

 

"Melalui kerjasama kami yang berterusan dengan WWF di bawah Program Eco Deals dan sokongan kerjasama rakan penginapan, kami berhasrat untuk memperjuangkan inisiatif pemuliharaan dan perlindungan bumi kita secara proaktif agar ia kekal untuk dinikmati generasi akan datang," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, projek pemuliharaan WWF yang disokong dalam edisi kedua Program Eco Deals telah mencapai kejayaan yang menakjubkan.

 

Di Malaysia katanya, sebanyak 20 pasukan terdiri daripada 116 individu melakukan rondaan di Kompleks Hutan Belum-Temengor selama 2,849 hari dan menandakan tahun kedua berturut-turut tanpa penemuan jerat aktif. 

 

"Sebanyak 282 perangkap berkamera juga dipasang di 141 lokasi dalam kawasan tersebut untuk memantau aktiviti hidupan liar," katanya. - DagangNews.com