Agong zahirkan penghargaan kepada Muhyiddin pimpin negara semasa cabaran getir COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Agong zahirkan penghargaan kepada Muhyiddin pimpin negara semasa cabaran getir COVID-19

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama

 

 

KUALA LUMPUR 13 Sept - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin dan barisan Kabinetnya sepanjang memimpin negara yang terpaksa berdepan cabaran getir krisis kesihatan COVID-19.

 

Bertitah semasa pembukaan persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini, Tuanku berkata sudah melaksanakan tanggungjawabnya berlandaskan Perlembagaan dan prinsip demokrasi berparlimen dalam membuat pemilihan PM yang baharu selepas peletakan jawatan Muhyiddin.

 

“Pada kesempatan ini beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang kelapan dan barisan ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara, mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir.

 

“Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan telah beta laksanakan dengan berpandu Perlembagaan Persekutuan selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

 

“Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” kata Baginda. - DagangNews.com