KUALA LUMPUR 15 Julai – Agrobank mengukuhkan komitmennya terhadap kesejahteraan peneroka melalui peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM200 juta kepada peneroka layak menerusi Program Kediaman Mampu Milik-i.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin menyampaikan replika cek kepada Timbalan Pengarah Besar Servis Korporat Felda, Mahadzir Mustafa Sabtu lepas sebagai sokongan Agrobank dalam merealisasikan impian peneroka Felda memiliki rumah pertama.
Skim pembiayaan itu membuktikan dedikasi bank itu dalam memperkasakan komuniti peneroka, selaras dengan sambutan Hari Peneroka Felda di MAEPS, Serdang pada 12 hingga 14 Julai lalu. Menurut Agrobank, kerjasama erat antara dua pihak itu membuahkan hasil positif dalam memperkasakan kesejahteraan peneroka.
Kata Agrobank, melalui Program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda(PGBF), bank itu bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan Program Kediaman Mampu Milik-i, malah turut menambah baik syarat pembiayaan dan menawarkan kadar keuntungan yang lebih rendah untuk pemohon yang layak.
“Kerjasama strategik itu diteruskan pada tahun 2021 dengan pembentukan model baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) bernilai RM100 juta, bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi warga peneroka secara holistik.” tambahnya.
Pada masa yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin menyatakan keinginan untuk memiliki sebuah rumah dalam kalangan rakyat semakin meningkat kerana mereka sedia maklum bahawa ianya adalah aset jangka masa yang panjang.
“Walau bagaimanapun, harga rumah dan tanah yang kian meningkat menyebabkan faktor kewangan menjadi isu utama dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman mereka sendiri terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dalam industri pertanian.”
“Setakat ini, sambutan terhadap kemudahan pembiayaan ini amat memberangsangkan, dengan jumlah permohonan mencecah RM137 juta.”
“Daripada jumlah tersebut, Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM59 juta kepada pemohon yang layak, membuktikan komitmen kami dalam membantu peneroka FELDA merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri,” tambahnya.
Sementara itu, pasukan Agrobank dan Felda telah berkerjasama menyokong kuat Program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), di pelbagai lokasi strategik di seluruh negara, antaranya ialah Felda Inas, Felda Keratong, Felda Padang Piol, Felda Pasir Besar, Felda Selendang, Felda Selancar, Felda Pasoh, Felda Sungai Koyan, Felda Sungai Tiang, dan Felda Laka Selatan.
Menurut Agrobank, inisiatif-inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan bank itu untuk memastikan kemudahan pembiayaan dimanfaatkan oleh lebih ramai peneroka Felda di seluruh pelosok negara.
Turut hadir di majlis yang sama adalah Pengerusi Agrobank Datuk Yunos Abdul Ghani dan Pengerusi Felda Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.- DagangNews.com