AGX Group catat untung bersih RM3 juta pada 3QFY23 didorong hasil sebanyak RM47.3 juta | DagangNews Skip to main content

AGX Group catat untung bersih RM3 juta pada 3QFY23 didorong hasil sebanyak RM47.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - AGX Group Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) dengan hasil sebanyak RM47.3 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23) kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.17 juta dengan hasil sebanyak RM138.16 juta.

 

Bagaimanapun, tiada angka perbandingan untuk tempoh sama tahun sebelumnya kerana ia merupakan laporan interim kewangan pertama yang diumumkan menjelang penyenaraiannya yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Bagi suku semasa dalam tinjauan, AGX dan anak syarikatnya dalam segmen logistik aeroangkasa merupakan penyumbang terbesar kumpulan, menjana kira-kira RM19.71 juta atau kira-kira 41.67% daripada hasil keseluruhan.

 

Penghantaran kargo laut merupakan penyumbang hasil kedua terbesar dengan 31.71% daripada jumlah hasil diikuti oleh penghantaran kargo udara, pergudangan dan perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) dan pengangkutan kargo jalan masing-masing dengan 16.18%, 6.21% dan 4.23%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AGX Group sasar RM33.78 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk P. Ponnudorai berkata, pihaknya akan terus memberi fokus kepada segmen pengangkutan laut dan udara selain logistik aeroangkasa.

 

Beliau berkata, pihaknya yakin pengangkutan laut untuk tahun ini telah meningkat daripada paras tertinggi disebabkan oleh kadar yang lebih tinggi, perniagaan logistik aeroangkasa terus berkembang dan pihaknya menjangkakan ia akan terus menjadi pemacu kepada perkembangan kumpulan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AGX Group meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

"Pihaknya teruja dengan prospek rancangan pengembangan menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjangkakan hasil daripada penyenaraian itu digunakan bagi membiayai penubuhan pejabat dan gudang baharu di Johor dan Pulau Pinang serta pejabat baharu di Busan, Korea.

 

"Rancangan pengembangan strategik itu dijangka mengukuhkan tawaran pihaknya kepada pelanggannya di utara serta selatan Semenanjung Malaysia, serta pelanggannya dari Singapura yang akan mendapat manfaat daripada kos yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu akan memperuntukkan kira-kira 48.66% daripada hasil IPO untuk modal kerja manakala 25.76% akan digunakan untuk pengembangan perniagaannya.

 

Syarikat itu juga memperuntukkan 12.25% dan 13.32% daripada hasil IPO bagi pembayaran balik pinjaman bank serta perbelanjaan penyenaraian.

 

AGX akan disenaraikan secara rasmi di Pasaran ACE Bursa Securities pada 7 Februari 2024.- DagangNews.com