Penamatan perjanjian menyelamat sah, Serendib tahu sebabnya - Sarawak Cable | DagangNews Skip to main content

Penamatan perjanjian menyelamat sah, Serendib tahu sebabnya - Sarawak Cable

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Mei - Sarawak Cable Berhad menegaskan penamatan perjanjian menyelamat dengan Serendib Capital adalah sah dengan pihak alternatif yang kuat sudah pun dikenal pasti bagi melaksanakan rancangan pemulihan syarikat.

 

Menurut pengeluar kabel itu, Serendib telah dimaklumkan dan sedar akan sebab-sebab mengapa memorandum perjanjian (MoA) ditamatkan.

 

"Sebarang hubungan kerja dengan Serendib telah dihentikan. Serendib tidak lagi terlibat dalam sebarang rancangan atau cadangan pemulihan yang berkaitan dengan Syarikat," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pemakluman itu susulan kenyataan Serendib bahawa Sarawak Cable tidak boleh menamatkan perjanjian menyelamat secara sebelah pihak.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Serendib dakwa perjanjian menyelamat Sarawak Cable masih sah, tidak boleh ditamatkan sebelah pihak

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laksana pelan pemulihan status PN17, Serendib Capital muncul penyelamat Sarawak Cable

 

Firma dari UK itu mendakwa, penamatan itu tidak dibincangkan Sarawak Cable dengan mana-mana pengarahnya dan oleh itu ia masih sah.  

 

Sarawak Cable pada 10 Mei 2024 memaklumkan mengenai "pihak alternatif yang kuat" yang berminat untuk menghidupkan semula syarikat tersebut. 

 

Sementara itu, menurut Sarawak Cable, rancangan pemulihan sedang dalam proses melibatkan perkhidmatan profesional untuk mencadangkan dan melaksanakan rancangan tersebut.

 

"Syarikat akan mengumumkan sebagaimana dan bila terdapat kemas kini lanjut," jelasnya. - DagangNews.com