KFC, Pizza Hut Malaysia lancarkan Kempen Sehati RM2 juta bantu pendidikan, makanan kanak-kanak kurang mampu | DagangNews Skip to main content

KFC, Pizza Hut Malaysia lancarkan Kempen Sehati RM2 juta bantu pendidikan, makanan kanak-kanak kurang mampu

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 17 Mei – QSR Brands yang mengendalikan rangkaian restoran KFC Malaysia dan Pizza Hut Malaysia memperkenalkan Kempen Sehati bagi menangani masalah pemakanan seimbang dan jurang pendidikan dalam kalangan murid-murid yang kurang bernasib baik.

 

Kempen dengan ikrar sumbangan berjumlah RM2 juta ini, bertujuan untuk memperkasakan pelajar yang kurang berkemampuan kepada akses makanan seimbang, pendidikan dan masa depan yang lebih cerah.

 

Kerjasama dengan Charity Right di bawah program Feed to Educate ini ialah inisiatif holistik yang menyediakan bantuan makanan seimbang dan mengukur keberhasilan langsung murid-murid menerusi peningkatan kadar kehadiran dan tahap pencapaian mereka di sekolah serta sesi maklum balas dengan ibu bapa.

 

 

Bermula Jun 2024, seramai 1,400 orang murid di 28 buah sekolah di seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan akan menerima pakej makanan bulanan agar mereka mendapat nutrien yang diperlukan untuk belajar dengan lebih selesa.

 

 

kfc

 

 

Kempen Sehati mempunyai matlamat untuk memastikan murid yang terlibat menerima bekalan makanan bulanan sekali gus menggalakkan mereka untuk kekal di sekolah, memberikan tumpuan kepada pelajaran dan menambah baik pengalaman pembelajaran mereka secara menyeluruh, di samping memberi mereka peluang yang sama rata untuk membesar dan mencapai matlamat akademik.

 

Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, “Penglibatan komuniti adalah salah satu komponen penting dalam teras perniagaan kami. Justeru, kami berbesar hati dengan usaha untuk memupuk budaya prihatin di kalangan pekerja kami.

 

"Tentu sekali, peranan kami sebagai warga korporat adalah memberikan sumbangan positif kepada masyarakat dengan meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat, terutamanya golongan yang kurang bernasib baik dan terpinggir,” ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna berkata, “Kami kekal komited untuk meyumbang kepada pembangunan negara dan memperkasakan masyarakat. Inisiatif ini lebih daripada sekadar menyediakan makanan, ia sebenarnya merupakan pelaburan untuk masa depan Malaysia menerusi aspek kesejahteraan dan pendidikan murid-murid yang dibantu."

 

"Ia dapat memperkasakan minda golongan muda dengan asas yang diperlukan bagi mengatasi cabaran sosial dan ekonomi dalam mencapai impian dan aspirasi mereka.”

 

 

kfc

 

 

Sementara itu Pengerusi Mercy Mission Malaysia, Fawwaz Aminuddin berkata, keserasian visi antara Charity Right, KFC dan Pizza Hut terbukti dalam khidmat sosial pihaknya yang dilaksanakan secara bersama.

 

"Semua pihak bersepakat dan komited untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan bagi menyokong objektif pendidikan negara, mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan mewujudkan komuniti yang lestari.

 

“Kami akan berusaha bersama-sama untuk membasmi kitaran kemiskinan dan memperkasakan masyarakat di seluruh negara menerusi pendidikan dan bantuan makanan,” katanya.

 

Kempen Sehati ialah satu daripada pelbagai program pembangunan dan pengukuhan komuniti yang dirancang oleh QSR Brands menerusi KFC dan Pizza Hut. Kedua-dua jenama ini menyumbang secara aktif kepada komuniti yang kurang bernasib baik di seluruh Malaysia selama lebih 14 tahun.

 

KFC Malaysia, melalui Program Add Hope dan KFC Feeding, menyumbang lebih RM32 juta sejak 2007 manakala Pizza Hut Malaysia terus aktif membantu masyarakat melalui program Hut to Heart dan Sayangimu.

 

 

kfc

 

 

Kempen Sehati diumumkan oleh Ketua Pegawai Komunikasi QSR Brands, Anis Yusof yang berkata “QSR Brands amat menghargai sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan bekerjasama dengan Charity Right yang menggalakkan perpaduan sosial dan mengurangkan ketidaksamaan melalui Kempen Sehati Feed to Educate kami.

 

"Kami yakin dan percaya bahawa perpaduan diantara pelbagai lapisan masyarakat dengan latar belakang yang berbeza dan usaha memupuk semangat kekitaan berupaya untuk membantu mewujudkan impak positif dan berkekalan kepada semua rakyat Malaysia.” - DagangNews.com