AGX Group meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

AGX Group meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AGX Group, Datuk Ponnudorai Periasamy bersama (dari kiri) Ketua Pegawai Kewangan AGX Group, Chang Poh Sheng; Pengarah Eksekutif AGX Group, Jayasielan Gopal; Pengarah Eksekutif Operasi TA Securities, Tah Heong Beng dan Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong menghadiri majlis pemeteraian perjanjian taja jamin hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - AGX Group Berhad telah memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO penyedia perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 96.5 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham biasa sedia ada.

 

Daripada 96.5 juta saham baharu terbabit, sejumlah 21.65 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, dengan 6.32 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan kumpulan berkelayakan.

 

Baki 68.53 juta saham baharu pula akan diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Menurut perjanjian taja jamin itu, TA Securities akan menaja jamin sejumlah 21.65 juta saham baharu.

 

AGX terutamanya terlibat khusus dalam perkhidmatan logistik pihak ketiga, merangkumi penghantaran pengangkutan laut dan udara, logistik aeroangkasa, pergudangan dan perkhidmatan pengangkutan di jalan raya.

 

Kumpulan itu beroperasi secara fizikal di Malaysia, Filipina, Korea, Myanmar, Singapura dan Kemboja (menerusi syarikat bersekutu), menyediakan penghantaran barangan dari tempat asal ke destinasi akhir mereka

 

Di samping itu, perkhidmatan logistik aeroangkasa AGX membabitkan koordinasi pengangkutan udara untuk bahagian, komponen dan peralatan pesawat.

 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil daripada IPO bagi mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara, seperti menubuhkan gudang dan pejabat baharu di Pulau Pinang dan Johor Bahru, serta penubuhan pejabat baharu di Busan, Korea Selatan bagi memperluas kehadirannya.

 

Selain itu, sebahagian daripada hasil daripada IPO juga telah diperuntukkan untuk membiayai modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank serta perbelanjaan penyenaraian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan AGX, Datuk Ponnudorai Periasamy berkata hasil IPO akan membantu pengembangan kumpulan di dalam dan luar negara.

 

“Kami berharap status penyenaraian pada masa hadapan akan mengukuhkan lagi kehadiran serantau kami, sambil memberikan kredibiliti kepada perkhidmatan disediakan seperti perkhidmatan logistik aeroangkasa, di mana pelanggan sedia ada dan sasaran kami adalah syarikat penerbangan di rantau ini,” ulasnya dalam kenyataan media hari ini.

 

TA Securities merupakan penasihat utama, penaja dan ejen penempatan untuk kumpulan itu.  - DagangNews.com