Ahli KWSP boleh memohon pembiayaan FSA2 di MBSB Bank | DagangNews Skip to main content

Ahli KWSP boleh memohon pembiayaan FSA2 di MBSB Bank

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memerlukan dana kewangan kini boleh memohon kemudahan Ihsan-i Fasiliti Sokongan akaun 2 (FSA2) di MBSB Bank.

 

Penyertaan MBSB Bank dalam menyokong FSA2 ini, akan juga membantu mereka yang berusaha untuk pulih dari segi kewangan terutama yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19.

 

Ahli-ahli yang mempunyai isu kecairan sementara (temporary liquidity issue), boleh mendapatkan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi Ihsan-i Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) tanpa menyebabkan impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka.

 

FSA2 diumumkan oleh KWSP untuk membolehkan ahlinya membuat permohonan awal bagi pengeluaran bersyarat Umur 50 atau Umur 55 dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank melalui pembiayaan peribadinya yang patuh syariah, Ihsan-i Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), dan BSN melalui MyRinggit Insan-i dari April 2023.

 

Jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum RM3,000 sehingga maksimum RM50,000.

 

Ahli boleh memohon pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank di www.fsa2mbsbbank.com.

 

Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan notis awal pengeluaran bersyarat Umur 50 atau Umur 55 kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.

 

Semasa Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat bank.

 

Pengeluaran bersyarat untuk umur 50 tahun atau umur 55 tahun akan dibuat ke akaun ahli di bank apabila ahli mencapai umur 50 atau 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli.

 

Ahli boleh melayari www.fsa2mbsbbank.com  untuk menyemak kelayakan mereka bagi permohonan pendahuluan bagi pengeluaran bersyarat Umur 50 atau Umur 55, dan jumlah yang boleh mereka mohon di bawah kemudahan tersebut.

 

Ahli digalakkan untuk mendaftar atau mengemaskini nombor telefon bimbit mereka melalui terminal layan diri yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan menerima kod kebenaran transaksi (TAC) bagi mengesahkan identiti mereka semasa menjalankan transaksi. 

 

Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan minimum RM3,000 dan ke atas dalam Akaun 2, dan disokong dengan pendapatan yang munasabah bagi memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi dan komited kepada pembayaran bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka.

 

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa pembayaran bulanan adalah perlu untuk memastikan pembiayaan tersebut dibayar tepat pada masanya.

 

Pada kadar keuntungan hanya 4.5% p.a. (iaitu lebih rendah daripada kadar pembiayaan purata), ahli-ahli KWSP yang memohon tetap menikmati kelebihan.

 

Ahli KWSP masih mempunyai simpanan di dalam Akaun 2 KWSP yang menerima dividen secara kompaun (compounding) setiap tahun, (dianggarkan 4.7% p.a.) jika mereka memohon kemudahan ini dengan bank. -- DagangNews.com