Ahli politik mesti berani mengaku tidak tahu semua, nasihat daripada tokoh korporat | DagangNews Skip to main content

Ahli politik mesti berani mengaku tidak tahu semua, nasihat daripada tokoh korporat

Datuk Seri Vijay Eswaran bercakap pada sidang khas di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland, baru-baru ini.

DAVOS, SWITZERLAND 10 Jun - Ahli politik di negara ini harus berani menunjukkan sikap merendah diri dan mengakui mereka mungkin tidak tahu setiap penyelesaian kepada setiap masalah yang dihadapi.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat QI, Datuk Seri Vijay Eswaran berkata kualiti ini penting jika Malaysia berhasrat untuk terus maju sebagai sebuah negara.

 

“Jika anda melihat ahli politik yang menjadikan Malaysia berjaya, mereka datang dari latar belakang yang sederhana.

 

"Ahli politik dahulu lebih mudah tetapi hari ini ahli politik kita telah berkembang ke tahap yang sangat canggih, malah rumit. Politik hari ini telah menjadi sangat rumit," kata Vijay.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland, baru-baru ini.

 

Oleh itu kata beliau, pemimpin yang mempunyai peribadi ringkas dan sering merasakan dirinya bukan 'orang besar' adalah merupakan contoh ahli politik terbaik yang diperlukan negara ini.

 

"Ahli politik terbaik dan bertanggungjawab juga sering menyedari keperluan rakyat senang bekerja bersamanya untuk membantu menjayakan matlamat ditetapkan,'' katanya lagi.

 

Menurutnya, ramai pemimpin politik Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara ke seantero dunia secara asasnya memiliki sifat merendah diri yang luar biasa.

 

 

eswaran
Datuk Seri Vijay Eswaran bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin di Davos, Switzerland

 

 

Mengulas lanjut, Eswaran turut berpendapat seseorang ahli politik tidak wajar sering bermegah diri dan perlu menyedari diri mereka 'tiada apa-apa' tanpa menerima sokongan rakyat.

 

Malahan, beliau turut menekankan keperluan ahli politik bersifat jujur sebagai satu resipi berkesan dalam merealisasikan teras perjuangan politik berpaksikan kepentingan rakyat.

 

"Ahli politik kita (hari ini) mengikut falsafah yang berbeza, mereka rasa mereka tahu apa yang betul, namun apa yang betul dengan menjadi seseorang yang benar itu dua perkara yang berbeza.

 

 

eswaran
Datuk Seri Vijay Eswaran berswasfoto bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

 

 

"Sebenarnya kita semua menempuh hidup, membuat keputusan yang salah pada asasnya dan kemudian memperbaikinya sehingga dapat membuat keputusan yang betul. Ia satu proses,” ujarnya lagi.

 

Eswaran turut berharap semua ahli politik Malaysia mempunyai kesedaran untuk sentiasa berusaha memperbaiki kesilapan bagi memastikan negara dapat mencapai masa hadapan yang lebih baik.

 

 

eswaran
Datuk Seri Vijay Eswaran bersama isterinya, Datin Sri Umayal Eswaran, Pengerusi Yayasan RYTHM di WEF, Davos, Switzerland.

 

 

"Begitulah sepatutnya menjadi pegangan seorang pemimpin mahupun rakyat Malaysia secara amnya, mereka tidak harus takut membuat kesilapan namun harus diperbaiki dalam memastikan kita dapat melangkah ke masa depan dengan lebih baik," ujar beliau.

 

Begitulah sepatutnya menjadi pegangan seorang pemimpin mahupun rakyat Malaysia secara amnya, yang tegas beliau tidak harus takut membuat kesilapan namun harus diperbaiki dalam memastikan kita dapat melangkah ke masa depan dengan lebih baik. - DagangNews.com