Pemulihan pasaran semikonduktor global, sektor teknologi diyakini catat pertumbuhan kukuh pada 2025 - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Pemulihan pasaran semikonduktor global, sektor teknologi diyakini catat pertumbuhan kukuh pada 2025 - CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - Sektor teknologi Malaysia diyakini mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 2025 disokong pemulihan global dalam pasaran semikonduktor, kata CIMB Securities.

 

Katanya, ia juga dipacu peningkatan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan kebangkitan semula dalam penambahan inventori untuk aplikasi semikonduktor bukan AI. 

 

Pada Disember 2024, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menyemak unjuran pertumbuhan jualan semikonduktor globalnya untuk 2024 kepada 19% daripada 16%, selain menurunkan unjuran pertumbuhan 2025 kepada 11.5% daripada 12.5%.

 

"Ini mencerminkan permintaan kukuh dalam sektor logik dan memori, dirangsang pelaburan infrastruktur AI yang meningkat," katanya dalam atu nota kajian.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor teknologi. Faktor yang menyokong ramalan itu termasuk keterlihatan pemulihan permintaan yang lebih baik, inisiatif kerajaan yang mempromosikan industri elektrik dan elektronik (E&E), dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemacu pertumbuhan utama bagi sektor itu termasuk pemulihan semikonduktor yang lebih kukuh daripada jangkaan, kepelbagaian rantaian bekalan, insentif baharu di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS.

 

"Bagaimanapun, cabaran seperti kelewatan pemulihan semikonduktor global, pembiayaan yang tidak mencukupi, ketegangan geopolitik, kekurangan buruh dan potensi pengukuhan ringgit boleh menimbulkan risiko," katanya.

 

CIMB Securities mengunjurkan, untung bersih sektor itu berkembang secara purata 25% pada 2025 dan 2026, berikutan peningkatan sederhana 2% pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 17% dalam keuntungan bersih antara 2023 dan 2026, dengan sektor pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) menerajui pertumbuhan pada awal 2025.

 

Hasil dijangka berkembang secara purata 13% pada 2025 dan 2026, berbanding hanya 1% pada 2024, didorong pemulihan permintaan industri, kepelbagaian rantaian bekalan di ASEAN, dan penyimpanan semula inventori.- DagangNews.com