Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara baharu | DagangNews Skip to main content

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara baharu

Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh - Gambar Twitter Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 1 Sept - Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa 6 September ini.

 

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan Ahmad Terrirudin yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

 

"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Idrus Harun atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020 menggantikan Tan Sri Tommy Thomas, yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

 

Beliau kemudian dilantik semula bagi memegang jawatan itu untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa mulai 6 Mac 2023.

 

Ahmad Terrirudin, 54, menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Tan Sri Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015, lapor Berita Harian.

 

Sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada Mac tahun lalu, Ahmad Terrirudin adalah Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. - DagangNews.com