Ahmad Zahid diperintah bela diri untuk 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, gubah wang haram | DagangNews Skip to main content

Ahmad Zahid diperintah bela diri untuk 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, gubah wang haram

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR 24 Jan - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diarahkan untuk membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah serta penggubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan berkenaan.

 

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

 

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, lapor Berita Harian.

 

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. - DagangNews.com