Ahmad Zahid Hamidi calon PM jika berjaya gulingkan Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Ahmad Zahid Hamidi calon PM jika berjaya gulingkan Muhyiddin

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut bakal dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya usaha menggulingkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya dilakukan dengan bantuan `pihak kayangan'.

 

Ahmad Zahid juga dikatakan mahu menjadi Perdana Menteri sebagai langkah untuk menyelamatkan dirinya daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi.

 

Menurut portal Suara Merdeka yang memetik sumber dalaman UMNO, Ahmad Zahid juga dikatakan akan cuba memujuk ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas dan Bersatu untuk menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.

 

Kumpulan Zahid juga sedang giat memujuk Ahli-ahli Parlimen PN untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

 

Tetapi dalam masa sama kata sumber itu, Ahmad Zahid tidak akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana perkara itu bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

 

Malah, jika Ahmad Zahid memilih untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP, perkara itu boleh membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu.

 

Sumber menampah, Ahmad Zahid dikatakan tahu jika Anwar menjadi PM, belum ada kepastian sama ada Pakatan Harapan akan menggugurkan kes mahkamahnya kerana `dendam' selama ini.

 

Minggu lalu, UMNO mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan Kerajaan Pakatan Nasional dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri.

 

Sumber juga berkata, gerakan menjatuhkan kerajaan PN dilihat semakin giat dijalankan kerana Ahmad Zahid bakal berhadapan perbicaraan di mahkamah pada 24 Ogos ini. - DagangNews.com