KUALA LUMPUR 12 Mei - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengeluarkan pembiayaan RM980 juta kepada usahawan mikro bagi tempoh Januari hingga Mei untuk tahun 2022.
Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, jumlah itu adalah 45% daripada sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini.
"Kami menjangkakan sehingga hujung tahun ini untuk mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM2.4 bilion dan ia adalah sasaran untuk membantu seramai 340,000 sahabat usahawan mikro," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri AIM hari ini, lapor Bernama.
Kira-kira 1,500 orang hadir pada majlis itu yang turut meraikan 40 anak-anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras.
Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata, ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19, AIM telah memberikan moratorium selama sembilan bulan kepada usahawan-usahawan mikro bagi membantu meringankan beban mereka. - DagangNews.com