Air Selangor terbitkan Sukuk SRI Kelestarian RM1.2 bilion | DagangNews Skip to main content

Air Selangor terbitkan Sukuk SRI Kelestarian RM1.2 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Berjaya menerbitkan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Kelestarian Air Selangor tranche keenam dan terbesarnya bernilai RM1.2 bilion.

 

Terbitan itu merangkumi empat siri dengan tempoh kematangan dari 10 hingga ke 25 tahun menandakan lengkapnya terbitan terkini ke-7 Air Selangor di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilion. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Adam Saffian Ghazali berkata, pihaknya sangat gembira dengan hasil dan sokongan padu daripada pelabur, seperti yang ditunjukkan dalam lebihan langganan yang luar biasa sebanyak 4.95 kali.

 

"Ia adalah bukti keyakinan berterusan pelabur terhadap kredit Air Selangor dan pengiktirafan serta sokongan mereka terhadap agenda kemampanan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, hasil daripada terbitan itu akan membolehkan pihaknya bergerak selari dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

 

"Ia seterusnya mengukuhkan pelaburan dalam peningkatan margin rizab air, mengurangkan air bukan hasil dan memastikan operasi infrastruktur air kami yang berterusan, lebih cekap dan hijau," katanya.

 

Disokong oleh permintaan kukuh yang diagregatkan kepada jumlah signifikan RM5.9 bilion, tawaran itu meningkat sebanyak 20% daripada RM1 bilion kepada RM1.2 bilion. 

 

Adam Safian berkata, sokongan luar biasa itu menjadikan SRI KAS ke-6 Air Selangor sebagai piawaian baharu untuk terbitan Sukuk AAA. 

 

"Hasil daripada SRI KAS ini akan digunakan untuk membiayai projek yang layak selaras dengan keutamaan Matlamat Pembangunan Mampan Air Selangor dan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampannya. 

 

"Projek-projek ini termasuk inisiatif  bekalan air lestari dan pelbagai projek pengurusan air lestari termasuk inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) yang mengukuhkan komitmen Air Selangor untuk memastikan Kelestarian sistem bekalan air untuk generasi akan datang," katanya.

 

Program sukuk murabahah, di mana SRI KAS diterbitkan, telah mengesahkan penarafan jangka panjang dan jangka pendek AAA masing-masing dengan prospek stabil dan P1, oleh RAM Rating Services Sdn Bhd pada 11 September 2023.

 

Bank Islam Malaysia Bhd berkhidmat sebagai penasihat utama, pengatur utama dan penasihat syariah untuk program sukuk murabahah manakala Bank Islam dan CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai pengurus utama bersama untuk terbitan SRI KAS. - DagangNews.com