AirAsia Academy lancar platform 'On-Demand Learning' manfaat konsep pembelajaran sepanjang hayat | DagangNews Skip to main content

AirAsia Academy lancar platform 'On-Demand Learning' manfaat konsep pembelajaran sepanjang hayat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai - AirAsia Academy mengumumkan pelancaran platform Pembelajaran Atas Permintaan atau On-Demand Learning (ODL) dalam usahanya memperkasakan semangat rakyat Malaysia bagi memanfaatkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. 

 

Pada masa sama, tawaran pembelajaran platform ODL sejajar dengan kerjasama AirAsia Academy bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menghasilkan graduan berkemahiran sepadan dengan keperluan IR 4.0 serta untuk memajukan negara yang dipacu secara digital. 

 

Pelancaran platform ODL, perkhidmatan setempat edutech yang mengandungi lebih daripada 16,000 video daripada pelbagai kandungan teknologi dan bukan teknologi, dibangunkan untuk memenuhi kemudahan pelanggan dan juga melengkapkan pengalaman pembelajaran AirAsia Academy. 

 

Pelancaran platform disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Presiden (Ventures) Capital A dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Academy, Aireen Omar.

 

Aireen berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan platform itu secara rasmi dan berbangga kerana mendapat sokongan daripada pihak KPT yang menyokong visi untuk menjadikan pendidikan lebih inklusif. 

 

"Kami turut berbangga dengan pencapaian pasukan AirAsia Academy kerana telah membangunkan rangkaian produk ODL hanya dalam masa enam bulan selepas idea itu diilhamkan," katanya.

 

Menurut Aireen lagi, dalam masa dua bulan sahaja, AirAsia Academy berjaya menawarkan lebih 16,000 konten baharu dan jumlah itu dijangka bakal melebihi 20,000 menjelang akhir tahun 2022. 

 

 

airasia
(Dari kiri) Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Aireen Omar.

 

 

"Kami yakin konten-konten ini akan bakal  mendapat sambutan memberangsangkan kerana ramai pengguna telah mengikuti kandungan pada platform kami," katanya.

 

Konten ODL tersedia melalui tiga pelan langganan, pelan langganan setahun pada harga RM28/bulan, 3 bulan pada harga RM48/bulan dan 1-bulan pada harga RM69/bulan. 

 

Bagi setiap pembelian pelan langganan ODL, para pelanggan akan mendapat akses kepada lebih 16,000 kandungan video yang meliputi pelbagai subjek berkaitan teknologi dan banyak lagi. 

 

Untuk masa yang terhad, AirAsia Academy menawarkan yuran langganan sebulan secara percuma bagi mereka yang mendaftar dengan kod AAAFREEMONTH dari 7 Julai sehingga 10 Julai 2022.  

 

Layari https://airasiaacademy.com untuk maklumat lanjut mengenai kursus-kursus yang disediakan oleh AirAsia Academy. - DagangNews.com