AirAsia ajak bercuti ke Phuket dari serendah RM189 sehala | DagangNews Skip to main content

AirAsia ajak bercuti ke Phuket dari serendah RM189 sehala

KUALA LUMPUR 20 Okt - Berikutan pengumuman pembukaan semula program Phuket Sandbox kepada para pelancong yang telah divaksin sepenuhnya dari mana-mana negara, AirAsia Malaysia melancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Phuket dengan 4 penerbangan mingguan bermula 5 November 2021. 

 

Bermula dari sekarang hingga 31 Oktober 2021, para tetamu boleh menempah penerbangan ke Phuket melalui ikon ‘Flights’ pada airasia Super App daripada hanya RM189 sehala untuk tempoh perjalanan antara 5 November dan 30 Mac 2022.

 

Para tetamu juga boleh mendapatkan nilai terbaik dengan pakej penerbangan dan penginapan melalui ikon ‘SNAP’ di airasia Super App bermula RM549 untuk perjalanan pada tempoh yang sama.

 

Para tetamu yang ingin menempah penginapan secara berasingan juga boleh menempah melalui ikon ‘Hotels’ di airasia Super App bagi penginapan yang disediakan oleh SHA Plus dan nikmati diskaun tambahan 10% dengan kod promosi, AAHOTEL10. 

 

Rakyat Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya dan ingin bercuti melalui Program Phuket Sandbox perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Thailand dan telah menerima Sijil Kemasukan yang boleh dibuat di Sistem Pendaftaran Sijil Kemasukan ke Thailand sebelum menempah tiket penerbangan mereka.



Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, berikutan kejayaan besar gelembung perjalanan Langkawi di Malaysia, pembukaan semula Program Phuket Sandbox bagi para pelancong dari Malaysia adalah satu kejayaan besar kerana ini menandakan pembukaan semula sekatan perjalanan antarabangsa ke Thailand.

 

''AirAsia berbesar hati untuk menyokong program ini dan kami berharap untuk menambah lebih banyak penerbangan untuk laluan percutian popular ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Riad berkata, dari segi operasi, AirAsia telah bersedia sepenuhnya untuk kembali memulakan penerbangan dan memastikan para tetamu dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan tenang.

 

 

Riad Asmat
RIAD ASMAT

 

 

''Sejak pelancaran gelembung perjalanan Langkawi dan pembukaan semula perjalanan antara negeri di Malaysia, kami telah menjual lebih 1 juta tempat duduk domestik. Kami juga mencatatkan muatan penumpang tinggi dan tempahan kukuh pada masa akan datang yang melambangkan pemulihan sektor pelancongan.

 

''Para tetamu AirAsia juga sentiasa dijamin dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan kami dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini,'' katanya.

 

Pengarah Malaysia & Brunei, Lembaga Pelancongan Thailand, Nongyao Jirundorn berkata, Thailand sedang bekerja keras untuk pembukaan semula sempadannya.

 

Pada masa ini kata beliau, rakyat Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya boleh bercuti ke Phuket dan Samui tanpa kuarantin.

 

''Thailand merupakan destinasi pelancongan nombor satu bagi Malaysia dan kami teruja untuk mengalu-alukan rakyat Malaysia ke bandar-bandar lain yang akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.

 

 

Nongyao Jirundorn
NONGYAO JIRUNDORN

 

AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama satu tahun setengah untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya.

 

Demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya, AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya, dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. - DagangNews.com