Airasia beli baki 20% saham BigLife RM103.04 juta | DagangNews Skip to main content

Airasia beli baki 20% saham BigLife RM103.04 juta

KUALA LUMPUR 15 April - AirAsia Group Bhd (AAGB) memeterai perjanjian jual dan beli saham (SSPA) bersyarat dengan AIMIA Holdings UK II Ltd untuk membeli baki 1.67 juta saham biasa dalam BigLife Sdn Bhd pada RM103.04 juta.

 

AAGB menjelaskan AirAsia Digital Sdn Bhd, anak syarikat milik penuhnya kini memiliki 6.66 juta saham biasa dalam BigLife, iaitu mewakili 80% kepentingan ekuiti dalam syarikat berkenaan.

 

Menurut syarikat penerbangan itu, pembayaran bagi pembelian tersebut akan dibuat sepenuhnya melalui terbitan 85.86 juta saham biasa baharu kumpulan itu pada RM1.20 sesaham.

 

“Baki saham biasa itu mewakili 20% daripada kepentingan ekuiti dalam BigLife yang belum dipegang oleh AirAsia Digital.

 

“Apabila cadangan pembelian ini selesai, BigLife akan menjadi anak syarikat milik penuh AAGB,” katanya dalam pemberitahuan kepada Bursa Malaysia semalam.

 

BigLife menjalankan perniagaan terutama menguruskan skim kesetiaan pelanggan manakala anak-anak syarikatnya terlibat dalam pemasaran program kesetiaan.

 

Menurut AAGB, pembelian itu dijangka memperkukuh lagi kedudukannya dalam usaha pemulihan daripada impak pandemik COVID-19. - DagangNews.com