SINGAPURA 15 Sept - AirAsia berhasrat mengembangkan operasinya di Indonesia dan Filipina melebihi tahap pra-pandemik menjelang suku pertama 2023, berikutan potensi pelancongan serta prestasi ekonomi yang semakin baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, disebabkan potensi itu juga bakal memacu pertumbuhan kumpulan di kedua-dua negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kami masih memerlukan pesawat di Malaysia dan Thailand, cuma Indonesia dan Filipina benar-benar berkembang dengan baik dan kami mahu mengembangkannya ke saiz yang lebih besar,” katanya pada majlis meraikan penyambungan semula operasi AirAsia di Terminal 4 Changi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, setakat ini AirAsia mempunyai sebanyak 205 pesawat dan mereka ingin meningkatkannya kepada 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ia akan mula menerima penghantaran 362 pesawat Airbus 321neo yang telah ditempahnya bermula pada 2024.
Tony berkata, cabang logistik AirAsia, Teleport akan menyumbang kepada pertumbuhan kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan 50 pesawat kargo dalam perkhidmatan operasi kargonya.
Kumpulan itu meneruskan semula tempahan untuk empat pesawat pengangkut Airbus 321 dengan penghantaran pertama dijangka pada Disember 2022 yang sebelum ini ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
“Masih wujud peluang di sini, sama seperti yang kami lakukan untuk perkhidmatan penumpang. Kami pada asasnya membuka pasaran baharu dengan 60% daripada laluan kami hari ini adalah laluan baharu.
"Kami boleh melakukan perkara yang sama untuk logistik dan kami fikir kargo akan menjadi sebahagian besar daripada operasi kami di Changi dan juga di sekitar rangkaian kami," katanya. - DagangNews.com