AirAsia berjaya jual 32.67% saham dalam AAI kepada syarikat India | DagangNews Skip to main content

AirAsia berjaya jual 32.67% saham dalam AAI kepada syarikat India

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - AirAsia Group Berhad berjaya menjual 32.67% saham dalam AirAsia (India) Limited (AAI) kepada sebuah syarikat di negara itu, Tata Sons Private Limited (TSL) pada 31 Disember lalu. 

 

Pelupusan saham itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Investment Limited (AAIL) dengan nilai AS$37,660,000 atau RM152.58 juta.

 

Menerusi transaksi itu, ini sekali gus menurunkan pemegangan ekuiti AirAsia dalam AAI kepada 16.33%.

 

Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata, transaksi itu adalah sejajar dengan inisiatif kumpulannya untuk mengurangkan penggunaan tunai. 

 

Bo Lingam
Bo Lingam

 

Ini sekali gus membolehkan AirAsia menggunakan kewangan bagi mengembangkan syer pasaran di pasaran utama ASEAN terutamanya Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina termasuk sasaran menembusi Kemboja, Myanmar dan Vietnam.

 

“Kumpulan AirAsia sentiasa melihat semula strategi perniagaan pada masa depan, termasuk pelaburan dalam AAI. Transaksi ini membolehkan pengekangan kos yang ketat buat Kumpulan AirAsia dalam jangka masa pendek, memperkukuh penapakan kami di ASEAN di samping meneruskan penguasaan pasaran perjalanan dari ASEAN hingga ke India dan Asia Utara. 

 

“India akan sentiasa kekal sebagai pasaran penting buat AirAsia. TSL merupakan rakan kongsi yang hebat dan kami mahu terus bekerjasama dengan mereka dalam bidang-bidang pertumbuhan yang lain,” kata beliau dalam sebuah kenyataan.

 

Berpangkalan di Bengaluru, AAI diterbangkan sehingga ke 19 destinasi domestik di seluruh India dengan 30 pesawat Airbus A320.

 

Dalam pada itu, perkhidmatan antarabangsa ke India dari Malaysia dan Thailand akan diteruskan semula pada masa akan datang selepas tiada lagi sekatan perjalanan dan sempadan dengan negara itu dibuka semula. 

 

Untuk rekod, AirAsia menerbangkan sehingga 100 penerbangan setiap minggu dari Malaysia dan Thailand ke sembilan destinasi di India. 

 

Sementara itu, kumpulan syarikat berkenaan juga telah beralih menjadi sebuah platform pelancongan dan gaya hidup digital menerusi airasia.com. 

 

Dalam masa sama, AirAsia juga menembusi usaha sama digital dalam logistik, e-perdagangan, fintech dan rantaian makanan segera.  - DagangNews.com