Airasia food bertapak di Singapura | DagangNews Skip to main content

Airasia food bertapak di Singapura

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 2 Mac - Platform penghantaran makanan, airasia food kini bertapak di Singapura dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih kompetitif bagi penduduk di negara tersebut. 

 

Ini juga menandakan kemasukan jenama itu dalam sektor perkhidmatan penghantaran makanan di rantau ASEAN. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, kemasukan ke Singapura menjadi tonggak utama kepada pengembangan platform e-dagang AirAsia yang dilancarkan tahun lalu. 

 

Katanya, di sebalik pandemik COVID-19, airasia super app dan airasia food khususnya mampu mengukuhkan kedudukan dan berkembang di peringkat serantau. 

 

"Dengan sekurang-kurangnya 50% daripada penduduk di Singapura makan di luar setiap hari dan 2.7 juta pengguna penghantaran makanan yang aktif tahun lalu, kami teruja dapat menjadi pemain dalam segmen penghantaran makanan di sini, pasaran paling pesat di rantau ini, jika bukan di seluruh dunia. 

 

"Bagi saya, Singapura begitu dekat di hati dan tidak sabar untuk menunggu waktu yang sesuai di mana saya boleh terbang ke sini dan melakukan sendiri penghantaran," katanya sempena pelancaran airasia food di Singapura secara maya hari ini. 

 

Beliau berkata, misi airasia food adalah untuk membantu perniagaan makanan tempatan pada harga yang rendah dengan menawarkan kadar komisyen yang lebih rendah yang boleh disalurkan kepada pelanggan supaya mereka boleh menikmati makanan pada harga berpatutan.

 

Di airasia food, katanya, mereka memiliki infrastruktur lengkap disokong menerusi logistik airasia, teleport dan keupayaan untuk memasuki ekosistem airasia terdiri daripada pangkalan data pengguna yang kukuh.

 

"Kami juga mahu menyumbang kepada ekonomi setempat dan membantu mewujudkan lebih banyak pekerjaan apabila perniagaan berkembang dan dapat memperluaskan pasukan penghantaran airasia di Singapura," tambahnya. 

 

airasia food
Airasia food dilancarkan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mei 2020.

 

 

Sementara itu, Ketua E-Dagang airasia super app, Lim Ben-Jie berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan lebih ramai penyedia makanan dan ini membolehkan airasia food menyediakan perkhidmatan selama 48 jam tanpa sebarang pendaftaran atau yuran permulaan. 

 

"Berdasarkan kepada skim insentif, kami menganggarkan penghantar makanan boleh menikmati pendapatan sehingga 700 dolar Singapura seminggu secara purata. 

 

"Saya yakin ini adalah pilihan yang berdaya maju bagi kebanyakan penghantar makanan yang pendapatan  mereka turut terkesan dengan kenaikan harga minyak petrol baru-baru ini," katanya. 

 

Airasia food dilancarkan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mei 2020, adalah satu platform penghantaran makanan yang lancar tanpa sebarang masalah serta berpatutan bagi peniaga kerana ia berdasarkan model kadar rata yang bersamaan dengan hanya 10% kadar komisen. 

 

Sebagai satu daripada perniagaan di bawah aplikasi airasia.com ASEAN, airasia food disokong oleh ekosistem airasia.com yang memiliki 60 juta pengguna yang boleh memperoleh mata dan membayar dengan BIG Points. - DagangNews.com