AirAsia kini dikenali sebagai Capital A | DagangNews Skip to main content

AirAsia kini dikenali sebagai Capital A

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 28 JanAirAsia Group Berhad mengumumkan pertukaran nama kumpulan syarikat kepada Capital A Berhad (Capital A).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata pertukaran nama tersebut mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi Kumpulan tersebut sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang telah pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan. 

“Kami bukan sekadar memperkenalkan logo baharu kerana hari ini merupakan satu peristiwa penting yang menandakan era baharu bagi Kumpulan kami.

 

"Pengumuman hari ini memperkukuh visi kami sebagai bukan hanya sebuah syarikat penerbangan.

"Jenama AirAsia sememangnya sinonim dengan syarikat penerbangan tersebut, tetapi sudah lama saya berhasrat, sebelum Covid melanda, untuk memanfaatkan data yang telah kami bina selama 20 tahun dan menggabungkan teknologi baharu dalam industri untuk menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas, lebih daripada sekadar tempahan penerbangan. Pandemik ini telah mempercepatkan strategi tersebut.

“Kini, jenama kami terus berkembang dan memacu inovasi serta memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa berubah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, strategi di sebalik pertukaran nama itu adalah untuk memperkenalkan identiti korporat baharu yang mencerminkan perniagaan teras Kumpulan dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan digital dan gaya hidup sehenti.

 

Sementara itu mengenai, AirAsia, Fernandes berkata, jenama itu kekal untuk syarikat penerbangannya kerana menurutnya ia adalah antara jenama terkuat di Asia dan menyediakan platform yang kukuh untuk semua produk dan perkhidmatannya yang saling bergantung antara satu sama lain.  

“Walaupun dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, saya yakin pemulihan akan bermula pada tahun ini.

 

"Perjalanan udara domestik sudah mula pulih dalam pasaran utama kami.

 

"Saya berharap sempadan akan dibuka semula secara beransur-ansur sepanjang 2022 dan kita akan melihat kapasiti kembali seperti biasa untuk perkhidmatan antarabangsa pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini," katanya. -DagangNews.com