AirAsia mahu saingi Grab, GoJek & WeChat | DagangNews Skip to main content

AirAsia mahu saingi Grab, GoJek & WeChat

AirAsia

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Syarikat penerbangan AirAsia kini dalam fasa membangunkan aplikasi perniagaan digital atau 'super app' sebagai pilihan lengkap pengguna sekali gus menyaingi Grab, GoJek dan WeChat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, platform digital 'super app' yang  akan dibangunkan itu adalah inisiatif pihaknya untuk meneruskan perniagaan berikutan wabak pendemik COVID-19.

"Sektor penerbangan memerlukan banyak masa untuk pulih berikutan wabak dan ia memberi peluang untuk lebih fokus kepada platform dan perniagaan digital kami.

"Kami mahu saingi platform lain seperti Grab, GoJek dan WeChat kerana platform digital yang kami bakal perkenalkan nanti bersifat 'all-in-one' seperti penghantaran makanan, beli-belah, pembayaran, hiburan dan perjalanan," katanya dalam wawancara bersama BBC seperti dipetik Malay Mail semalam.

Menurut rekod, AirAsia mempunyai pangkaan data lebih daripada 60 juta pelanggan yang dilihat sebagai kelebihan kepada syarikat berkenaan untuk memulakan perkara tersebut.

BBC dalam laporannya berkata, aplikasi digital AirAsia itu akan menawarkan perkhidmatan pesanan kepada pengguna dengan kepelbagaian perkhidmatan 'super app' seperti Grab yang berpusat di Singapura, GoJek di Indonesia dan Meituan di China.

Tambah beliau, AirAsia adalah antara penggerak dan pemula kepada platform perniagaan digital dalam kalangan syarikat penerbangan.

"Saya tahu, 'super app' didengar terlalu tinggi dan besar. Tetapi Grab dan GoJek dahulunya juga bermula dengan kecil sebagai aplikasi makanan dan pengangkutan. 

"Sama juga dengan apa yang ditanya orang ramai ketika saya putuskan untuk mulakan AirAsia dahulu.

Terdahulu, Kumpulan AirAsia mengalami gangguan prestasi kewangan disebabkan pandemik COVID-19 mengakibatkan syarikat berkenaan mengalami kerugian bersih berjumlah RM803.85 juta untuk suku pertama 2020 berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta pada tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com