AirAsia perkenal laluan baharu KL ke Jaipur, tawar tambang bermula RM209 | DagangNews Skip to main content

AirAsia perkenal laluan baharu KL ke Jaipur, tawar tambang bermula RM209

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - AirAsia terus mengembangkan rangkaiannya pada tahun ini dengan pelancaran laluan baharu menghubungkan Kuala Lumpur dengan kota popular di utara India iaitu Jaipur, yang juga dikenali sebagai 'Bandar Merah Jambu'. 

 

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, Kota Jaipur yang merupakan permata negeri Rajasthan terkenal di seluruh dunia berikutan keindahan kubu abad ke-16 serta istana megah Jal Mahal dan lain-lain tarikan. 

 

Katanya, bagi meraikan pelancaran laluan ke Jaipur yang akan bermula pada 21 April 2024, AirAsia menawarkan tambang promosi ke bandar tersebut bermula RM209 untuk tambang termasuk semua sehala dan bermula INR7,999 dari Jaipur ke Kuala Lumpur. 

 

"Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan bermula 9 Januari hingga 23 Januari 2024 unutk tempoh perjalanan antara 21 April 2024 dan 19 Mac 2025," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, AirAsia melancarkan jualan besar-besaran sempena sambutan tahun baharu untuk semua tempat duduk di seluruh rangkaian penerbangannya.

 

Menurut kenyataan itu, para tetamu AirAsia kini boleh menikmati diskaun 24% untuk penerbangan ke pelbagai destinasi di seluruh ASEAN seperti Langkawi, Kuala Terengganu, Krabi, Jakarta dan sebagainya. 

 

"Lawati destinasi menarik seperti Tiruchirappalli, Colombo, Kunming dan banyak lagi untuk pengalaman budaya dan membeli-belah yang tiada tandingannya. 

 

 

airasia

 

 

"Bagi mereka yang ingin terbang lebih jauh, nikmati diskaun ke destinasi popular AirAsia X seperti Almaty, Taipei, Melbourne, Shanghai, New Delhi dan banyak lagi. 

 

"Tempah penerbangan dengan tambang diskaun bermula hari ini hingga 14 Januari 2024 dan mulakan pengembaraan dari 22 Januari hingga 30 November 2024. Diskaun ini tersedia untuk tempahan di aplikasi airasia Superapp atau layari www.airasia.com," katanya.

 


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya berbesar hati untuk meraikan pelbagai kejayaan pada 2023 yang menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia. 

 

Katanya, sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada para tetamu, pihaknya memulakan tahun ini dengan melancarkan jualan besar-besaran. 

 

 

airasia

 

 

"Tahun ini akan menandakan tahun ke-23 AirAsia menghubungkan para tetamu ke destinasi-destinasi yang menarik dengan tambang berpatutan yang merupakan visi dan misi kami. Dengan jualan ini, para tetamu boleh merancang percutian dan perjalanan balik kampung lebih awal untuk lebih penjimatan.

 

"Kami juga berbangga untuk mengumumkan laluan baharu yang akan dikendalikan AirAsia Malaysia ke salah satu destinasi paling popular iaitu Jaipur. India sentiasa menjadi salah satu pasaran terbesar AirAsia dan kami berbesar hati untuk meningkatkan jumlah penerbangan ke negara tersebut berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai kemasukan tanpa visa untuk warganegara India ke Malaysia. 

 

"Kami berharap untuk membawa lebih ramai pelancong pada tahun ini dengan tambang berpatutan," katanya.

 

Untuk terus menawarkan pengalaman penerbangan terbaik kepada para tetamu, AirAsia juga menawarkan 'Insurans Kelewatan Penerbangan' dengan diskaun istimewa sebanyak 24%, yang terpakai jika penerbangan mengalami kelewatan sekurang-kurangnya dua jam dari waktu perlepasan yang dijadualkan atau waktu perlepasan yang baharu, dikuasakan Tune Protect Malaysia. - DagangNews.com