KUALA LUMPUR 31 Jan - AirAsia kekal komited menghubungkan orang ramai dengan lebih banyak laluan domestik baharu seperti penerbangan sulung antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu.
Selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, AirAsia turut melancarkan laluan baharu Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu pada awal bulan Januari sebahagian usaha memacu pelancongan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, laluan baharu itu bukan sahaja memperkukuh pelancongan di Malaysia, malah sebahagian persediaan kembali menyediakan laluan antarabangsa tidak lama lagi, seterusnya menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong antarabangsa membuat perjalanan domestik ke pelbagai destinasi pelancongan di Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Sabah kerana sentiasa menyokong usaha AirAsia dalam memulihkan industri pelancongan, dan berharap dapat terus bekerjasama bagi memacu peningkatan trafik di kedua-dua buah bandar.
“Daripada segi operasi, kami bersedia dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat dikuatkuasakan dalam semua penerbangan kami dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, penerbangan sulung AK5310 berlepas dari Kota Kinabalu tepat pukul 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pukul 5.40 petang.
Para tetamu dalam penerbangan itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman dan Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan.
Penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 dari sekarang hingga 14 Februari 2022 untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.
Dalam perkembangan sama, Ariffin pula berkata, penerbangan sulung menghubungkan Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu merupakan detik istimewa dan beliau mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya.
"Ini sekali gus membantu memeriahkan industri pelancongan domestik, selain menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa melancong di dalam Malaysia. Kami akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman berkata, destinasi pelepasan baharu ke Sabah adalah penting untuk industri negeri itu dan menjadikan lebih mudah diakses para pelancong berkunjung ke Malaysia untuk ke Sabah sebagai satu lagi destinasi percutian mereka.
"Kemasukan semasa pelancong domestik dari Terengganu berkemungkinan besar adalah kategori melawat rakan dan saudara mara (VFR). Sabah dan Terengganu berkongsi persamaan kedua-dua mempunyai tapak menyelam hebat dan kami menjangka ia akan memberi peluang kepada peminat selam di Terengganu menerokai tapak selam kami.
"Selain itu, kami mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia dan mereka menetap di Terengganu untuk menerokai Sabah dan menikmati tawaran pelancongan dan kebudayaannya," katanya.
Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook. - DagangNews.com