Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Syarikat penerbangan AirAsia berjaya mengungguli dua kategori utama dalam World Travel Awards (WTA) bagi anugerah syarikat Penerbangan Tambang Randah Terkemuka Asia 2020 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020.
Anugerah penerbangan tambang murah itu merupakan kejayaan tahun kelapan berturut-turut buat AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penghargaan tersebut mempunyai nilai sentimental kerana industri penerbangan kini berada dalam situasi yang amat mencabar.
"Terima kasih kami ucapkan kepada setiap seorang daripada 600 juta tetamu kami atas sokongan dan kepercayaan berterusan mereka sejak hari pertama sehingga kini, di mana kami sedang melalui tempoh yang paling sukar dalam sejarah AirAsia.
"Apa yang paling penting, anugerah ini ditujukan khas buat AirAsia Allstars (kakitangan kami), termasuklah mereka yang terpaksa meninggalkan kami baru-baru ini.
"Ribuan terima kasih kepada semua Allstars di atas komitmen, ketekunan dan dedikasi anda sepanjang tahun yang amat mencabar ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
AirAsia mengungguli kategori utama bagi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah setelah menerima undian tertinggi daripada pemain industri profesional di rantau ini sekali gus mengatasi syarikat penerbangan lain seperti Scoot, Nok Air, VietJet Air, Jetstar dan Firefly.
Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, pandemik yang memberi impak besar kepada semua pihak tidak mematahkan semangat krunya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
"Saya yakin bahawa kru kami dapat mengatasi cabaran ini dan tidak patah semangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menyesuaikan diri dengan peraturan dan undang-undang yang sentiasa berubah dalam situasi semasa," ujarnya.
Mengulas berkaitan penganugerahan itu, Pengasas World Travel Awards, Graham E Cooke memberitahu, AirAsia terus menerajui sektor penerbangan tambang rendah di Asia dan seterusnya meskipun industri penerbangan menghadapi cabaran besar pada tahun ini.
"Mereka berusaha untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan saya berbesar hati kerana mereka telah dipilih oleh pemain industri dan orang awam sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020," katanya.
Mula ditubuhkan pada 1993, World Travel Awards adalah salah satu program anugerah paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.
Bagi tahun 2020, anugerah berkenaan mendapat undian bulanan dan trafik carian yang tinggi sekali gus membuktikan permintaan dalam industri perjalanan dan pelancongan semakin meningkat. - DagangNews.com