AirAsia rancang aktifkan 204 pesawat menjelang akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

AirAsia rancang aktifkan 204 pesawat menjelang akhir tahun ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - AirAsia merancang untuk mengaktifkan kembali keseluruhan 204 pesawatnya disokong oleh perjanjian baharu bersama rakan kongsi jangka panjang serta pembekal enjinnya, CFM International. 

 

Fokus CFM untuk meningkatkan kestabilan pesawat di lapangan dan pemantauan maya 24/7 terhadap operasi enjin LEAP-1A AirAsia adalah pemangkin penting bagi syarikat penerbangan itu untuk mengaktifkan semula pesawatnya di seluruh kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya mengambil langkah yang besar mengembalikan pesawat dan memulakan semula operasi mereka, mengimbangkan ketidakseimbangan kos untuk 204 buah pesawat dan pendapatan daripada penerbangan purata 143 pesawat tahun ini. 

 

"Hari ini, kami telah mengembalikan 175 pesawat ke udara. Kestabilan armada CFM ini membawa pemangkin penting bagi kami untuk kembali kepada pengaktifan pesawat secara penuh. 

 

"Saya bangga dengan Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan kami, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap jurutera kami bukan sahaja kerana menjalankan kerja harian mereka dengan penuh dedikasi, tetapi juga memberi tumpuan kepada usaha mengaktifkan semula pesawat kami di seluruh kumpulan. 

 

"Kami mengharapkan keputusan suku keempat apabila kami akan melihat prestasi sebenar AirAsia dengan pengoperasian pesawat penuh," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam pula berkata, ia akan mempercepatkan lagi rancangan pihaknya untuk mengembalikan kapasiti mereka, malah melebihi tahun 2019, yang mana mereka akan menjadi lebih cekap. 

 

 

tony
Tan Sri Tony Fernandes

 

 

"Ini akan membolehkan penggunaan pesawat yang lebih tinggi dengan masa tidak beroperasi yang kurang dan jadual penerbangan yang lebih konsisten dengan prestasi pada masa yang lebih baik, serta membolehkan penggunaan alat ganti yang lebih cekap ADE. 

 

"Ini adalah baik untuk komitmen kami terhadap keselamatan, kebolehpercayaan, dan kecemerlangan operasi," katanya.

 

Dengan fokus kukuh CFM pada kestabilan pesawat dan sokongan perkhidmatan, ia adalah pemangkin yang membolehkan AirAsia mengoperasikan enjin pesawat LEAP mereka dengan lebih lama, serta membantu syarikat penerbangan itu mengurangkan kos penyelenggaraan dan perbelanjaan operasi.

 

 

airasia

 

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CFM International, Gael Meheust berkata, AirAsia telah menjadi pelanggan CFM yang berharga selama hampir dua dekad dan pihaknya berbesar hati untuk menyokong rancangan mereka untuk mengaktifkan semula sepenuhnya kumpulan pesawat mereka. 

 

"Kami menganggap kepercayaan AirAsia sebagai suatu tanggungjawab besar untuk terus menyokong armada mereka dengan standard CFM yang tinggi," katanya.

 

AirAsia berharap untuk memanfaatkan pencapaian ini, sementara syarikat penerbangan itu mengaktifkan semula keseluruhan 204 pesawatnya dan berkembang kepada lebih daripada 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Di samping itu, ia terus menghubungkan orang ramai di seluruh ASEAN dan sekitarnya dengan pilihan perjalanan berpatutan dan bernilai terbaik. - DagangNews.com