MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
BAB-bab kebebasan bersuara ini sebenarnya, saya ibarat berperahu melihat buaya mundar-mandir di hadapan akan terus elak sungai tersebut.
Bukan disebabkan cuak atau rasa diri tidak mahir mengelak libasan buaya. Tetapi dengan pengalaman sebagai wartawan lebih tiga dekad ini, saya memahami bahawa ‘kebebasan bersuara itu milik orang berkuasa’.
Daripada kena libas atau terkena tempias libasan, lebih baik guna jalan lain. Hati tenang tak kena saman, portal tak kena gantung.
Atas sebab itu, DagangNews.com yang saya terajui ini menetapkan hala tuju jelas iaitu menyiarkan hanya berita berkaitan ekonomi dan perniagaan.
Ini bermakna portal berita perniagaan ini menjauhkan diri dari berita politik partisan walaupun mengetahui dari segi capaian `Hits & Users’, berita politik adalah lombong bijih timah.
Namun untuk menyiarkan berita `bebas politik’ sepenuhnya pun tidak mungkin kerana politik dan perniagaan di Malaysia ini adalah sama seperti perahu dan pendayung.
Apa sahaja dasar-dasar perniagaan kerajaan, maka disambut oleh komuniti perniagaan dengan riang ria. Contoh mudah, kerajaan galakkan pembukaan pusat data. Berduyun-duyun nak ikut. Yang perniagaan terasnya buat sarung tangan getah pun nak tumpang sekali.
Tidak mengapa. Kena ikutlah trend supaya boleh mempelbagaikan sumber kewangan.
Tentulah dasar-dasar ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dilihat agreasif dan berani dalam memperkenalkan dasar perniagaan dan paling penting memudahcara perniagaan dengan menghapuskan karenah birokrasi.
Atas faktor inilah, saya berhubung dengan kenalan-kenalan pensyarah di universiti agar mereka menganalisis setiap dasar dan gerak langkah kerajaan supaya pembaca lebih memahami apa benda sebenarnya kerajaan buat dan patut buat.
Dan pesanan yang selalu diperingat kepada mereka ialah guna formula sejagat kewartawanan ini:
1. Pengenalan Subjek
Ini supaya orang tahu apa benda ditulis, berkaitan apa2. Bentangkan Masalah atau Isu Semasa
Nyatakan secara jujur isu. Ini supaya orang boleh merasai relevan artikel3. Sarankan Kaedah Mengatasinya
Ini supaya artikel bersifat kritikan membina dengan menyediakan saranan penyelesaian
Bimbingan yang diberikan bertujuan menjadikan mereka berkeupayaan mengupas, menganalisis sesuatu isu dengan bernas dan paling penting, berani. Kalau setakat tulis puji puja sahaja, sila hantar artikel ke media arus perdana.
Mereka dibimbing menjadi pengkritik berwibawa tetapi bukan sebagai pengeji atau penjahanam totok. Artikel yang didapati ayatnya keras melampau pun, akan diturunkan nadanya.
Portal ini pun tidak mahu cetus kontroversi kurang siuman, yang tidak pasal-pasal menjerumuskan kami dalam radar MCMC disebabkan tulisan sedemikian.
Dipanggil Mengadap
Baru-baru ini, beberapa pensyarah memaklumkan saya bahawa mereka telah dipanggil mengadap ketua masing-masing berhubung artikel-artikel mereka. Tiada surat disiplin. Hanya secara lisan ingat-mengingati.
Selain itu, saya juga ada menerima salinan memorandum UKM yang telah didedahkan di Parlimen. UKM pun sudah menjelaskan kedudukan mereka. Mudah-mudahan tiada universiti awam lain berbuat benda serupa.
Hendak kecewa pun tidak boleh. Kerana Kerajaan Perpaduan sudah mengeluarkan arahan larangan mengeluarkan kenyataan media kepada penjawat awam.
Secara teknikalnya, universiti awam yang menerima dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pun berstatus badan berkanun. Jadi kena patuhlah.
Mujurlah pada 24 Oktober baru ini di Parlimen, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir meminta universiti awam diberikan pengecualian daripada Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
Beberapa cubaan telah dilakukan sebelum ini, namun masih belum berjaya, meskipun terdapat 12 institusi dikecualikan dalam akta berkenaan.
Dalam konteks universiti, ia tidak seharusnya terlibat dalam keseluruhan pekeliling secara umum yang diberikan kepada semua pihak yang tertakluk di bawah kategori Badan Berkanun.
“Saya sedang mencuba untuk melakukan perkara ini bagi membolehkan iklim dalam sebuah universiti itu tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka.
“Tapi dengan syarat, dalam tradisi keintelektualan, kesarjanaan, seseorang itu tidak bercakap secara merapu... tanpa fakta, dengan membuat teori bukan-bukan,” katanya.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN - Indera Mahkota) yang bertanya apakah langkah kementerian bagi memastikan insiden seperti larangan oleh UKM yang menghalang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang.
Siapa yang rugi?
Daripada sudut ini, betullah apa Datuk Seri Zambry sebut di Parlimen itu. Ada jawatan pensyarah, profesor, Dr atau Ir atau Ts atau Dato/Datin bukan lesen untuk merapu macam satu kejadian yang mengatakan isteri Nabi berasal dari Kedah yang tular ke seluruh negara.
Dalam konteks di atas, sesuailah larangan UKM tetapi sewajarnya larangan itu dibuat secara khusus terhadap kes tersebut di atas, bukan buat memorandum tebar selimut putih tutup satu katil.
Bila buat larangan selimut putih, pemikir-pemikir sosial yang sedang membina dan dibina di universiti awam dikhuatiri akan terkena tempias, lalu menjadi pokok bonsai.
Dan kebenaran bersuara, mengeluarkan pandangan kepada pensyarah tidak seharusnya yang manis-manis belaka, puji puja dan menyebelahi kerajaan semata-mata. Mereka haruslah dibenarkan untuk mengkritik juga. Inilah fungsi universiti melahirkan orang berakal. Bukan suruh tutup mulut.
Yang rugi bukan universiti sahaja tetapi paling teruk negara kita. Masyarakat MADANI memerlukan semua pihak memberi pendapat dan idea, dari penyapu jalan hinggalah ahli akademik. Ini tergaris jelas dalam tonggak KETERANGKUMAN gagasan Malaysia MADANI.
Mudah-mudahan usaha Datuk Seri Zambry menjadi realiti dengan segera. Kita tidak mahu universiti jadi tempat permulaan penumpul idea dan penyekat kebebasan bersuara. - DagangNews.com