KEMUNCULAN syarikat penerbangan tambang rendah, corak perjalanan udara telah berubah secara mendadak, dengan peningkatan dalam perjalanan dan perdagangan, disebabkan oleh kecekapan masanya.
Dengan trend globalisasi dan pembebasan ruang udara dalam beberapa dekad kebelakangan ini, penerbangan telah membolehkan pergerakan orang dan perdagangan barangan tanpa sempadan pada kadar pertumbuhan tinggi.
Impak daripada inovasi teknologi, tekanan terhadap perubahan iklim, dan perubahan dalam tingkah laku dan corak pengembara, perancangan strategik menjadi lebih penting dan kompleks bagi pengendali aerodrome untuk mencipta kelebihan daya saing yang mampan dalam kalangan pesaing serantau mereka.
Walau bagaimanapun, perancangan strategik bergantung kepada beberapa faktor kejayaan kritikal. Tentunya, peranan kepimpinan pengurusan dan strategi inklusif untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dinamik pasaran adalah penting untuk terus hidup dalam persaingan perniagaan.
Ini adalah antara cabaran yang dihadapi sekian lama oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), selaku entiti khusus milik kerajaan bagi mengendalikan lapangan terbang di negara ini.
Faktor-faktor yang dinyatakan di atas bukan sekadar retorik tetapi isu sebenar perniagaan yang memerlukan sinergi dan langkah berani, termasuk membuka sedikit pagar kepada entiti asing untuk menanam modal dan paling penting, berkongsi kepakaran.
Inilah antara pendorong MAHB menerima tawaran pengambilalihan bernilai RM12 bilion daripada sekumpulan pelabur melalui konsortium yang diketuai oleh Khazanah Nasional Bhd, melalui anak syarikat milik penuh UEM Group Bhd, dan KWSP untuk membeli kesemua baki 1.12 bilion saham dalam MAHB, mewakili 67.01% daripada jumlah saham MAHB yang diterbitkan pada 15 Mei 2024.
Khazanah dan KWSP bekerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) untuk membentuk konsortium, Gateway Development Alliance Sdn Bhd.
Konsortium yang itu seterusnya akan menyahsenarai MAHB.
GIP ialah salah satu pelabur infrastruktur utama dunia dan pemilik serta pengurus lapangan terbang yang berpengalaman.
Selepas tawaran lengkap, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%.
Secara kolektif, gabungan kepentingan Khazanah dan KWSP dalam MAHB akan meningkat kepada 70%. ADIA dan GIP akan memegang baki 30%.
Berikut adalah butiran impak positif daripada urus niaga MAHB ini:
1. Kembalikan kecemerlangan KLIA
Kualiti KLIA menjadi bahan jenaka yang memalukan, lebih-lebih lagi baru beberapa minggu lalu, kedudukannya menyusut empat tangga lagi dari 68 ke tangga 71 dalam senarai Skytrax 2024.
Isu aerotrain yang tidak siap-siap, pelancong terpaksa bersesak-sesak di tempat pemeriksaan pasport, tandas tidak bersih dan sebagainya, sentiasa dipaparkan oleh netizen dan pelawat asing. Semua ini boleh dan perlu diperbaiki! Ini pasti menjadi keutamaan konsortium.
2. Jadikan lapangan terbang seluruh negara bertaraf dunia
MAHB menguruskan 39 lapangan terbang: 5 adalah lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLports di Malaysia.
Pembangunan lapangan terbang utama lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (sedang berjalan) dan berpotensi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu juga akan memberikan peningkatan penilaian kepada MAHB.
3. Bina lapangan terbang ultra moden
Terkini, Sarawak mengumumkan hasrat untuk membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching, bagi menyokong industri penerbangan yang semakin berkembang di Sarawak, terutama dengan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd oleh negeri itu.
Sarawak bakal mengikuti Johor yang mendapat input besar daripada kerajaan negeri masing-masing bagi membina lapangan terbang yang mereka inginkan. Banyak pihak dapat melihat kepentingan untuk mempunyai jaringan lapangan terbang yang baik untuk menjana potensi ekonomi masing masing.
4. Penyediaan bajet
Pengembangan perniagaan lapangan terbang memerlukan modal besar dan pulangan untung yang lama untuk dikecapi, menyebabkan pelabur banyak lemah kaki untuk menyertai sektor penerbangan.
Sebagai syarikat tersenarai juga, segala bentuk bajet perbelanjaan perlu melalui prosedur kerajaan yang berlapis-lapis dan mengambil masa.
Dengan status baharunya, segala bajet boleh `lebih cepat’ dilaksanakan tanpa menggadaikan soal integriti dan amanah. Tambahan lagi, pelabur pelabur yang membentuk Konsortium ini jika dinilai mempunyai poket yang “dalam” dan stabil.
5. Pengurusan
Dalam tempoh enam tahun ini sahaja, MAHB sudah menyaksikan lima CEO/MD bertukar silih berganti. Penswastaan akan memastikan pengurusan akan lebih profesional, bertanggungjawab dan berintegriti.
Paling terkini, Mohamed Rastam Shahrom disebut-sebut bakal dilantik sebagai peneraju MAHB secara tetap selepas tujuh bulan memangku tugas ketua pegawai eksekutif kumpulan.
Mohamed Rastam dilantik sebagai pemangku CEO Kumpulan MAHB pada 25 Oktober 2023, selepas Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood melepaskan jawatannya sebagai pengarah urusan pada akhir kontrak dua tahunnya sehari sebelumnya. Mohamed terus berkhidmat sebagai CFO kumpulan MAHB.
Pada 13 Mei lalu, MAHB mengumumkan bekas pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Dr Nungsari Ahmad Radhi sebagai pengerusi bukan eksekutifnya.
Dalam kenyataan akhbar Konsortium ini, telah ditegaskan bahawa dari segi pengurusan kelak, MAHB akan kekal diterajui oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif warga tempatan dan warga MAHB dijamin tiada pembuangan kerja.
Untuk MAHB berjaya, pengurusan yang baharu perlu terdiri daripada gabungan pakar-pakar terbaik dalam industri penenerbangan dan infrastruktur perhubungan.
6. Memodenkan operasi MAHB
Pengambilalihan MAHB bertujuan untuk menaik taraf dan memodenkan operasi syarikat, meningkatkan perkhidmatan penumpang, menambah baik ketersambungan syarikat penerbangan dan merangsang pertumbuhan trafik.
Pertumbuhan trafik ini yang akan menjadi kunci kepada kejayaan sesebuah lapangan terbang dan impak positif dibawa kepasa ekonomi.
Jika dilihat kepada prestasi lapangan terbang yang ditransformasi GIP seperti Gatwick di UK - jumlah penumpang meningkat daripada kira-kira 30 juta penumpang setahun kepada 41 juta setahun, didorong oleh peningkatan daripada kurang 200 route penerbangan kepada lebih 236 laluan, dengan 16 route penerbangan jarak panjang (long haul) baharu sejak diambil alih GIP.
Inilah potensi yang menanti KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, KKIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak untuk menambah bilangan route penerbangan mereka di dalam negara dan di peringkat antarabangsa – lonjakkan pelawat yang dapat berkunjung ke Malaysia akan sekaligus merancakkan sektor pelancongan dan industri yang berkaitan.
Lapangan terbang di Malaysia perlu mendepani zaman. Naik taraf lapangan terbang hari ini bukan sekadar untuk permintaan sekarang tetapi untuk mengunjurkan peningkatan permintaan 10 tahun akan datang.
7. Hubungan mesra dengan syarikat penerbangan
Drama MAHB vs AirAsia yang bertahun lamanya untuk diselesaikan, tidak akan berulang di masa depan.
Konsortium meletakkan matlamat pentingnya untuk bekerjasama rapat bagi menyokong syarikat penerbangan sedia ada dan mengukuhkan sumber pengurusan untuk menarik pelanggan syarikat penerbangan baharu ke MAHB, khususnya dalam segmen jarak jauh.
8. Tawaran lumayan
Harga tawaran penswastan itu adalah kenaikan 49.5% tahun-ke-kini berdasarkan harga penutupan saham RM7.36 sesaham pada akhir 2023.
Firma TA Research menyifatkan “berdasarkan harga tawaran RM11 sesaham, pemerolehan tersirat PE mencapai 37.7x FY23 EPS yang terlalu tinggi.
“Selain itu, tawaran itu adalah 3.8% lebih tinggi daripada penilaian DCF (aliran tunai selepas diskaun) kami sebanyak RM10.60 sesaham, yang kami fikir adalah tawaran yang baik untuk diterima oleh pemegang saham minoriti,” kata firma pembrokeran itu.
9. KLIA Aeropolis dan Subang
MAHB mempunyai simpanan tanah seluas 2,731 hektar yang besar di Sepang untuk dijadikan KLIA Aeropolis, yang telah diberi pajakan selama 99 tahun bermula November 2022.
Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang pula akan memberikan peningkatan penilaian selanjutnya, dengan terminal baharu itu mengembangkan kapasiti lapangan terbang dengan aktiviti komersial, perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baharu, dan penyambungan semula operasi pesawat A320 dan B737.
10. Sabiha Gokçen
Lapangan Terbang Sabiha Gokçen Istanbul (ISGA) di Turkiye adalah pelaburan tunggal MAHB di luar negara yang berjalan dengan baik. Prestasi cemerlangnya itu juga mungkin mendorong kerajaan Turkiye melanjutkan tempoh konsesi ISGA.
11. MAHB kekal dimiliki, dikuasai oleh kerajaan Malaysia
Kerajaan masih mengawal MAHB melalui KWSP dan Khazanah, yang akan memegang majoriti, manakala pegangan oleh kedua-dua pelabur asing itu pada gabungan 30 peratus. Dakwaan mengatakan entiti strategik negara telah dilelong adalah tersasar jauh.
Berdasarkan rekod MAHB di Bursa Malaysia, KWSP meningkatkan saham dalam MAHB selepas pengambilalihan adalah petunjuk bahawa lebih banyak nilai akan diperoleh daripada pengendali lapangan terbang.
Oleh itu, operasi lapangan terbang dilihat sebagai perniagaan yang berkembang pesat, terutamanya bagi MAHB, memandangkan monopolinya di negara ini yang akan mendapat manfaat daripada peningkatan trafik penumpang yang dijangka.
Masyarakat perniagaan dan rakyat yang pragmatis lebih melihat urus niaga ini dari perspektif ekonomi, kerana kesan positif bergandanya lebih tinggi berbanding dengan yang tidak.
Kita semua amat berharap semua ini akan membantu menaik taraf semua lapangan terbang di Malaysia, terutamanya KLIA kembali ke taraf dunia yang disegani.
Dan lebih banyak lapangan terbang Malaysia yang bertaraf dunia, lebih banyak untungnya untuk ekonomi negara. - DagangNews.com