Industri penerbangan dunia dilanda masalah, bukan sahaja Malaysia Airlines | DagangNews Skip to main content

Industri penerbangan dunia dilanda masalah, bukan sahaja Malaysia Airlines

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

JUMAAT lepas, British Airways dilaporkan terpaksa membatalkan penerbangan dari lapangan terbang utama UK kerana kekurangan pesawat mengakibatkan beratus-ratus perjalanan dibatalkan.

 

Puncanya bukan tiada pesawat. Sebaliknya banyak. British Airways mempunyai lebih daripada 280 pesawat, termasuk pesawat paling terbaharu A380 dan 787.

 

Masalahnya sebilangan pesawat BA dilanda masalah enjin. Menurut laporan media UK, BA mengesan masalah penyelenggaraan dengan beberapa enjin jet Rolls-Roycenya.

 

Akibat daripada masalah enjin pesawat ini, sebanyak 11 laluan telah dibatalkan. Pelancaran laluan Heathrow ke Kuala Lumpur kini akan ditangguhkan dari November hingga April 2025.

 

Kekerapan penerbangan ke Qatar telah dikurangkan separuh. Beberapa perkhidmatan juga telah digantung antara Gatwick dan JFK di New York.

 

 

iktisad

 

 

BA berkata isu itu adalah dengan enjin Trent 1000 yang digunakan pada armada jet Boeing 787 Dreamlinernya.

 

Terdapat wear and tear yang berlebihan pada enjin tersebut dan Rolls-Royce tidak dapat membekalkan enjin dan alat ganti yang mencukupi.

 

BA telah menghentikan lima pesawat atau 15 peratus daripada armada. Boeing 777 telah digunakan untuk menampan ketiadaan pesawat 787 tetapi mereka juga perlu dibaiki secara kerap.

 

Jurucakap BA berkata: "Kami telah mengambil tindakan ini kerana kami tidak percaya isu itu akan diselesaikan dengan cepat, dan kami ingin menawarkan pelanggan kami kepastian yang mereka patut dapatkan.

 

“Kami telah memohon maaf kepada mereka yang terjejas dan dapat menawarkan sebahagian besar penerbangan pada hari yang sama dengan British Airways atau salah satu syarikat penerbangan rakan kongsi kami.

 

Mereka berkata: "Malangnya, Rolls-Royce, pembekal enjin kami untuk armada pesawat Boeing 787 kami, sedang mengalami cabaran," katanya.

 

"Kami bukan satu-satunya syarikat penerbangan yang mengalami masalah ini dan sedang melakukan semua yang kami mampu untuk bekerjasama dengan Rolls-Royce untuk menyelesaikan situasi itu."

 

Jurucakap Rolls-Royce berkata: "Malangnya, ini adalah isu yang menjejaskan keseluruhan industri aeroangkasa."

 

Malaysia Airlines

Sebulan yang lalu, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail membuat permohonan maaf kepada pelanggan Malaysia Airlines yang terjejas kesan daripada pemotongan 20% rangkaian penerbangan kumpulan itu.

 

 

hikayat

 

 

Semacam tiada kefahaman jelas konteks ketika itu daripada orang ramai. Mungkin yang nampak hanyalah pesawat Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik, orang marah dan hanya tahu marah.

 

Sekarang bila British Airways yang merupakan antara gergasi syarikat penerbangan global pun terpaksa membatalkan penerbangan, baharulah terasa seperti ada kesamaan dengan apa yang berlaku ke atas Malaysia Airlines. Bezanya Rolls-Royce dan Boeing tidak didengar bersuara di Malaysia.

 

Tidak cukup dengan itu, timbul pula isu kekurangan jurutera yang diburukkan lagi dengan realiti industri `mencuri’ pekerja mahir.
 

Semacam tidak adil untuk menyalahkan Malaysia Airlines semata-mata atas keputusan mengurangkan 20% penerbangan. Serupa seperti British Airways, kita ada pesawat tetapi pesawat ada masalah enjin, yang orang lain bina dan kini berdepan masalah kuantiti. Buat enjin jet bukan macam buat air botol minuman – dalam sejam boleh siap 14,000 botol.

 

Untung bersih pertama 2023

Malaysia Airlines telah melaporkan keuntungan tahunan pertamanya dalam lebih sedekad iaitu RM766 juta (AS$162 juta) untuk 2023, meningkat daripada kerugian RM344 juta (AS$73 juta) setahun sebelumnya pada 21 Mac lalu.

 

Permintaan kukuh dan tambang penerbangan yang tinggi telah membantu syarikat penerbangan itu keluar daripada zon merah selepas mengalami kerugian berterusan selama bertahun-tahun, yang bermula dengan tragedi dua pesawat Boeing 777-200ER jarak jauhnya secara berturut-turut pada 2014.

 

Pemulihan itu dibantu oleh prestasi kukuh bagi unit syarikat penerbangan penumpang, yang mendedahkan keuntungan operasi sebanyak RM1.1 bilion (AS$233 juta), kali pertama angka keuntungan positif dilaporkan sejak 2010.

 

Syarikat penerbangan itu membawa 14.5 juta penumpang pada 2023, meningkat 46% daripada tahun sebelumnya. Selain itu, ia mencapai 86% daripada kapasiti pra-pandemik menjelang Disember 2023 dan oleh itu, menjangka menyelesaikan pemulihan penuh pasca-pandemik pada suku kedua 2024.

 

Data tersebut melonjakkan status Malaysia Airlines dalam Anugerah Skytrax 2024, mendaki lapan anak tangga dari setahun sebelumnya untuk menduduki ranking sebagai syarikat penerbangan ke-39 terbaik di dunia.

 

 

MAG

 

 

Tahun 2024

Kini dengan isu pengurangan 20% penerbangan, apakah Malaysia Airlines negara akan mampu mengulangi atau sekurang-kurangnya mempertahankan pencapaian tahun 2023?

 

Tentulah sukar tetapi penelitian terhadap pandangan-pandangan pakar dan penganalisis industri, rata-ratanya memahami dan bersetuju dengan langkah Malaysia Airlines walaupun diramal kira-kira sejuta penumpang dijangka terjejas.

 

Lebih baik mencegah di daratan daripada berlaku sesuatu setelah kita di atas udara.

 

Mungkin terdapat syarikat penerbangan lain yang kelihatan mengambil jalan keluar dan meletakkan keuntungan melebihi orang ramai, Malaysia Airlines "tidak berada dalam kategori itu".

 

Menurut Aeroroutes - laman web khusus menyediakan maklumat komprehensif dan terkini mengenai jadual penerbangan global serta perubahan rangkaian - penerbangan sehala domestik dari Kuala Lumpur telah mengalami penurunan yang ketara, dengan pengurangan 29.5 peratus dalam penerbangan dan 29.8 peratus pengurangan kapasiti pada 1 September berbanding 18 Ogos.

 

Ini adalah langkah yang tepat untuk Malaysia Airlines meletakkan keselamatan di atas segala-galanya, termasuk keuntungan.

 

Malaysia Airlines adalah khazanah negara

Khazanah Nasional mengambil alih Malaysia Airlines susulan dua tragedi pada 2014 dan mewujudkan Malaysia Aviation Group (MAG), menyuntik lebih RM9.6 bilion ke dalam pelan pemulihan lima tahun.

 

Ada cadangan pihak tertentu agar Malaysia Airlines diswastakan dan diuruskan oleh entiti korporat. Duit berbilion ringgit itu boleh disalur kepada B40.

 

Tidak semudah itu. Industri penerbangan adalah industri berasaskan modal besar. Hanya entiti benar-benar kaya sahaja yang sedia melabur di dalamnya. Paling logik, entiti berkenaan akan mengambil kepentingan minoriti di dalamnya. Perbincangan kerajaan Sarawak untuk mengambil alih MASwings sekarang adalah contoh yang boleh kita perhatikan.

 

 

merrepak

 

 

Dalam kebanyakan masa, pelabur yang bersedia menyuntik ke dalam Malaysia Airlines adalah pelabur asing dan sudah pasti mereka mahukan pegangan majoriti. Bagaimana melabur jumlah begitu besar tetapi tidak dapat kawal hala tuju syarikat tersebut?

 

Adakah mungkin rakyat Malaysia bersetuju misalnya syarikat penerbangan Indonesia, Garuda mengambil 51% ekuiti di dalam Malaysia Airlines. Garuda pun kian meningkat statusnya di persada penerbangan global. Indonesia punya pasaran domestik jauh lebih besar daripada Malaysia. Ia adalah secocok dengan kita. Bukankah kita serumpun, pak?

 

Tetapi, bersediakah kita melepaskan Malaysia Airlines?

Penswastaan lapangan terbang pun tidak terlepas daripada isu kemasukan pelabur asing, inikan pula Malaysia Airlines! MAHB sebenarnya agak beruntung kerana ada pelabur asing yang sanggup masuk secara minoriti dan membenarkan entiti Malaysia mengawal dan menguasai hala tuju.

 

Jadi mungkin buat masa ini, benarkan Khazanah Nasional dan Kerajaan Malaysia membantu memulihkan sepenuhnya Malaysia Airlines.

 

Bila sudah boleh menjana dividen secara konsisten (bayar balik bail-out), selepas itu baharu kita cari petua atau formula sesuai sama ada Malaysia Airlines cari pelabur baharu atau mampu berdiri sendiri.

 

Dan bolehlah ketika itu Malaysia Airlines membatalkan penajaan ke atas Manchester United – sebuah kelab bolasepak yang ternama tetapi berprestasi lemah di Liga Perdana Inggeris. - DagangNews.com

 

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 32 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Iron Maiden - Flight Of Icarus berulang-ulang kali.