AirAsia rancang tawar kempen menarik bantu pulih sektor pelancongan Langkawi | DagangNews Skip to main content

AirAsia rancang tawar kempen menarik bantu pulih sektor pelancongan Langkawi

 

 

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Keputusan kerajaan untuk memulakan gelembung perjalanan adalah petanda baik untuk pemulihan industri pelancongan secara keseluruhannya di Langkawi, menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat. 

 

Sehubungan itu, beliau berkata, AirAsia kami berharap dapat terus bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tourism Malaysia, untuk menyokong pemulihan sektor pelancongan. 

 

"Kami sedang berusaha untuk menawarkan beberapa kempen menarik untuk memulihkan sektor pelancongan di Langkawi yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 

"Muat turun airasia Super App hari ini supaya anda tidak terlepas tawaran yang menarik untuk Langkawi," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

AirAsia menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membuka sektor pelancongan domestik di beberapa destinasi bermula dengan gelembung perjalanan Langkawi mulai 16 September 2021. 

 

Para pelancong yang memenuhi syarat yang ditetapkan kini boleh mula merancang perjalanan mereka.

 

Riad berkata, AirAsia telah membuat persediaan rapi untuk kembali terbang dan ingin menjemput para tetamu untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih meyakinkan dan selamat bersama syarikat penerbangan ini. 

 

"Di AirAsia, kami komited untuk melaksanakan semua protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat untuk sepanjang perjalanan anda, termasuk di kawasan terminal sebelum dan selepas penerbangan, di laluan rayap dan kargo serta semasa penerbangan anda. 

 

"Selain itu, kami telah mempertingkatkan prosedur dan inovasi yang lebih baik untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih baik," tambahnya. 

 

AirAsia Group kini bersedia untuk kembali terbang dengan dibarisi kakitangan hadapan yang telah divaksin sepenuhnya serta langkah-langkah keselamatan tanpa sentuhan dan kebersihan yang tertinggi, sempena pembukaan perjalanan udara dalam waktu terdekat. - DagangNews.com