Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Dis - AirAsia Group Bhd dijangka menyelesaikan terbitan hak boleh ditolaknya kepada pemegang saham sedia ada selepas penyenaraian sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) dan waran pada 31 Disember ini
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pelaksanaan itu telah berjaya mengumpul RM974.5 juta dan memberikan suntikan kuat untuk menyokong keseluruhan strategi pengumpulan dana kumpulan.
“Selepas dua tahun yang paling mencabar dalam sejarah penerbangan komersial, penghujungnya akhirnya dapat dicapai. Kami telah terselamat daripada wabak itu.
"Kami telah menyusun semula, melancarkan semula dan kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk pulih lebih cepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fernandes, AirAsia telah menggunakan masa pemberhentian penerbangan untuk menyemak setiap aspek operasi syarikat penerbangandengan fokus yang ketat ke arah pembendungan kos dan melaksanakan rangkaian optimum dan strategi untuk meletakkan platform yang kukuh untuk kembali ke terbang dengan lebih lebih kukuh berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, kumpulan itu juga telah berubah menjadi kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital yang tidak semata-mata bergantung kepada tambang penerbangan sahaja.
Jelas Fernandes, aplikasi supernya kini telah mencapai status unicorn dalam tempoh kurang dua tahun selepas ia dinilai lebih AS$1 bilion oleh Credit Suisse manakala syarikat fintechnya BigPay memperoleh sehingga AS$100 juta dalam pembiayaan daripada SK Group.
"Terbitan Hak yang diumumkan hari ini adalah komponen penting dalam keseluruhan strategi pengumpulan dana kami yang menyokong lantunan kukuh dalam perjalanan udara merentasi Asean pada 2022.
"Kami secara beransur-ansur telah menyambung semula penerbangan di semua pasaran utama dan berharap untuk kembali ke tahap pra-COVID di laluan popular kami pada tahun baharu di samping kadar vaksinasi yang kukuh, prosedur ujian dan pendidikan yang lebih baik di semua pasaran kami.
“Ia juga menunjukkan keyakinan pelabur dalam strategi pemulihan keseluruhan kami termasuk transformasi digital yang telah menerima sokongan padu sehingga kini melalui pelbagai inisiatif pengumpulan dana,” katanya. -DagangNews.com