AirAsia Shop: Platform e-dagang bebas cukai lebih inovatif | DagangNews Skip to main content

AirAsia Shop: Platform e-dagang bebas cukai lebih inovatif

AirAsia Shop

(Dari kiri) Ketua Perkhidmatan Tambahan Komersial AirAsia.com, Rose Lam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak semasa melancarkan plaftorm AirAsia Shop di ibu negara hari ini.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Syarikat penerbangan tambang murah negara meluaskan lagi jaringan pemasaran digital yang memenuhi gaya hidup terkini dengan memperkenalkan platform beli-belah e-dagang bebas cukai terbaharu iaitu AirAsia Shop.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, platform yang diperkenalkan itu membolehkan pelanggan membeli dan mendapatkan produk tulen yang bebas cukai selain diberi kemudahan penghantaran.

"Sebelum ini kami telah perkenalkan e-dagang seperti OURSHOP dan Save Our Shops (S.O.S). Hari ini pula kami berbangga dapat memperkenalkan AirAsia Shop yang merupakan satu cabang perniagaan baharu yang inovatif di bawah kumpulan AirAsia.

"Dengan platform ini, kami menawarkan pelbagai jenama berkualiti pada harga berpatutan serta penghantaran terus ke rumah dengan masa yang singkat,"katanya kepada media selepas majlis Pelancaran AirAsia Shop di RedStation, KL Sentral hari ini.

Antara produk dan barangan yang boleh dibeli melalui AirAsia Shop
Antara produk kecantikan dan gajet yang boleh dibeli melalui  AirAsia Shop.

 

Turut hadir bersama ialah Ketua Perkhidmatan Tambahan Komersial AirAsia.com, Rose Lam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

AirAsia Shop menawarkan pelbagai pilihan jenama mewah dari serata dunia seperti produk kecantikan, kesihatan, gajet, aksesori pelancongan, cenderamata AirAsia dan lain-lain lagi.

Bagi urusan penghantaran barangan yang dibeli oleh pelanggan pula, AirAsia Shop akan memberi perkhidmatan penghantaran pantas terus ke rumah dalam masa sehari menggunakan cabang kargo dan logistik AirAsia iaitu Teleport.

Selain itu juga, pelanggan turut diberi peluang untuk membuat tempahan awal bagi penghantaran dalam penerbangan atau mengambil sendiri di lapangan terbang pada bila-bila masa walaupun pelanggan tidak menaiki penerbangan tersebut selain penghantaran percuma untuk setiap pembelian melebihi RM100 di kawasan Lembah Klang.

Menariknya juga, platform beli-belah tersebut menawarkan diskaun hingga 40% bermula hari ini hingga 6 September 2020 berserta peluang memiliki hadiah untuk produk penjagaan kulit dari Korea seperti Innisfree, Sulwhasoo, Laneige dan lain-lain lagi.

Antara produk dan barangan yang boleh dibeli melalui AirAsia Shop
Antara produk dan barangan yang boleh dibeli melalui  AirAsia Shop.

 

Sepanjang tempoh itu juga, pelanggan diberi kelebihan untuk menikmati peluang beli satu percuma satu bagi produk penjagaan kulit AHC dan Elizabeth Arden.

Potongan harga hingga 72% turut diberi kepada pelanggan bersempena dengan promosi bulanan untuk produk terpilih.

Tambah beliau, pengenalan e-dagang bebas cukai itu juga dijangka akan menjadi salah satu penyumbang utama kepada pendapatan kumpulannya.

"Platform terbaharu ini selari dengan usaha kami untuk menjadi peneraju jenama gaya hidup digital di ASEAN.

"Bukan hanya Malaysia, kami juga akan kembangkan platform ini ke negara-negara ASEAN lain seperti Thailand pada September 2020 serta Indonesia dan Filipina pada suku pertama hingga suku kedua 2021," tambahnya. - DagangNews.com