Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Ogos - AirAsia sekali lagi memberi tawaran istimewa kepada pelanggannya dengan diskuan hebat 20% bagi semua tempat duduk untuk penerbangan dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, promosi tersebut adalah selari dengan peningkatan perkhidmatan penerbangan domestik syarikatnya di Malaysia.
"Kini kami menawarkan diskaun 20% untuk semua tempat duduk bagi semua penerbangan di Malaysia supaya semua orang boleh terbang dengan harga berpatutan.
"Promosi ini juga tepat pada masanya bagi pelajar universiti, ibu bapa dan penyarah yang perlu melakukan perjalanan untuk semester yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tempahan bagi tawaran tersebut boleh didapati melalui laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia bermula sekarang hingga 9 Ogos 2020 bagi tempoh perjalanan antara 17 Ogos dan 6 Disember 2020.
Jelas beliau lagi, tetamu juga boleh menikmati lebih penjimatan melalui platform SNAP dengan tawaran diskaun tambahan sebanyak 25% untuk penerbangan dengan jaminan nilai terbaik bagi pakej penerbangan dan hotel.
Pakej tersebut termasuk penerbangan pergi balik dan penginapan hotel selama tiga hari dua malam di Vivanta Resort Langkawi, The Prestige Hotel Penang dan banyak lagi.
Selain itu, AirAsia juga memberi kelebihan mengubah tarikh penerbangan kepada tetamu yang melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020 tanpa sebarang bayaran pertukaran penerbangan.
Tambah Riad, jumlah pelancong domestik amat memberangsangkan dengan lebih 500,000 tempat duduk terjual sepanjang Julai khususnya cuti hujung minggu lalu sempena Hari Raya Aidiladha.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan industri dan pihak berkepentingan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan pelancongan yang lebih menarik dan berpatutan untuk semua.
"Kami turut menggalakkan semua tetamu untuk berwaspada dan mengikuti semua langkah keselamatan seperti memakai pelitup muka, membersihkan diri dan mencuci tangan secara kerap dan tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan," jelasnya. - DagangNews.com