AirAsia tawar perkhidmatan penerbangan sewa khas pelancongan perubatan dari Indonesia | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar perkhidmatan penerbangan sewa khas pelancongan perubatan dari Indonesia

Kru Kabin AirAsia di dalam penerbangan QZ0970 dari medan ke Pulau Pinang.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]


KUALA LUMPUR 14 Ogos - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan kepada para pelancong perubatan dan kesihatan dari Indonesia ke negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan berkata, selari dengan usaha tersebut, AirAsia turut menyambut penerbangan sewa khas perubatan antarabangsa pertama dari Medan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

"Ini adalah masa sukar bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menderita penyakit kronik yang memerlukan rawatan perubatan khusus. AirAsia bekerjasama rapat dengan institusi perubatan dan pihak berkuasa kerajaan bagi memastikan mereka mempunyai pengalaman perjalanan yang lancar dari Indonesia ke Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui perkhidmatan tersebut, AirAsia telah menjalinkan kerjasama dengan Island Hospital di Pulau Pinang dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) demi perjalanan yang lancar.

Ketua Pelancongan Perubatan AirAsia, Vincent Gooi bersama-sama kakitangan Island Hospital Pulau Pinang menunggu ketibaan perkhidmatan penerbangan sewa khas perubatan dari medan hari ini.
Ketua Pelancongan Perubatan AirAsia, Vincent Gooi bersama-sama kakitangan Island Hospital Pulau Pinang menunggu ketibaan perkhidmatan penerbangan sewa khas perubatan dari medan hari ini.
 

Perkhidmatan itu akan disediakan dari bandar-bandar lain di Indonesia dalam masa terdekat dan akan berkembang sebagai salah satu tawaran perkhidmatan menyeluruh di bawah platform AirAsia.com.

Tambah beliau, meskipun terdapat sekatan perjalanan dalam situasi yang mencabar ini, pihaknya komited untuk menghubungkan pelancong perubatan dengan keperluan kritikal mereka. 

"Saya juga juga berterima kasih kepada pasukan AirAsia Health kerana membantu memudahkan penerbangan sewa khas perubatan dari Medan ke Pulau Pinang ini. 

"Penerbangan sewa khas perubatan seterusnya dari Indonesia adalah dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 24 Ogos nanti," jelasnya lagi.

Indonesia merupakan negara yang menyumbang kepada kedatangan pelancong perubatan dan kesihatan tertinggi ke Malaysia.

Menilai kepada prestasi tersebut, AirAsia Health bakal melancarkan platform kesihatan menyeluruh dalam talian di laman web AirAsia.com dalam masa terdekat. - DagangNews.com