AirAsia tawar tambang serendah RM179 untuk laluan baharu Pulau Pinang-Phnom Penh mulai 10 Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM179 untuk laluan baharu Pulau Pinang-Phnom Penh mulai 10 Disember 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - AirAsia mengumumkan satu lagi laluan baharu yang dinanti-nantikan menghubungkan pengembara dari Pulau Pinang ke Phnom Penh bermula 10 Disember 2022 dengan tambang bermula RM179 sehala untuk masa terhad.

 

Laluan baharu ini bakal meningkatkan lagi rangkaian AirAsia di rantau ASEAN dan membolehkan perjalanan lancar antara Kemboja, yang sering digelar sebagai ‘Kingdom Of Wonder’, dan Pulau Pinang iaitu hab ketiga terbesar AirAsia di Semenanjung Malaysia. 

 

Laluan ini akan beroperasi dengan kekerapan penerbangan dua kali seminggu. Hab AirAsia di Pulau Mutiara terus berkembang dengan penerbangan antarabangsa, bermula dengan pelancaran laluan ke Bali pada 20 Oktober 2022 lalu.

 

Sempena meraikan pengumuman ini, ahli airasia rewards berpeluang untuk mendapatkan tambang bernilai hebat bagi laluan ini bermula RM179 sehala atau RM428 dua hala untuk tempoh perjalanan antara 10 Disember 2022 dan 25 Mac 2023. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan laluan baharu ke Phnom Penh untuk pertama kali dari habnya di Pulau Pinang. 

 

"Selepas penyambungan semula penerbangan kami ke Phnom Penh dan Siem Reap di Kemboja dari Kuala Lumpur pada awal tahun ini, laluan baharu ini akan mengukuhkan lagi populariti dan permintaan pelancongan Kemboja, dan AirAsia berbesar hati kerana dapat memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelancong ke destinasi popular ini.

 

“Phnom Penh adalah destinasi yang tidak asing lagi bagi AirAsia. Sebelum pandemik, kami telah membawa ribuan pengembara ke dan dari bandar itu pada setiap bulan. Berikutan tiada lagi sekatan perjalanan ke Kemboja, terdapat peningkatan permintaan untuk menambah pilihan penerbangan dan laluan. 

 

 

airasia

 

 

"Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Kemboja atas usaha mereka dalam membolehkan perjalanan yang lancar antara kedua-dua negara, dan kami berharap untuk memperkenalkan laluan-laluan baharu dari Malaysia seterusnya, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perjalanan udara," katanya. - DagangNews.com