AirAsia tekad capai 2 Matlamat Pembangunan Lestari PBB tahun ini  | DagangNews Skip to main content

AirAsia tekad capai 2 Matlamat Pembangunan Lestari PBB tahun ini 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - AirAsia Group Berhad berhasrat untuk meningkatkan lagi usaha kumpulan bagi mencapai dua elemen daripada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Kesaksamaan Jantina dan Tindakan Terhadap Iklim.

 

Menurut Ketua Pegawai Esekutif syarikat penerbangan itu, Tan Sri Tony Fenandes, AirAsia turut menyasarkan untuk memenuhi 10 elemen yang ditekankan kumpulan dalam Laporan Kelestarian 2020 AirAsia, pada tahun 2021. 

 

Katanya, bagi aspek Kesaksamaan Jantina yang merupakan matlamat kelima digariskan oleh PBB, AirAsia bakal memperkenalkan inisiatif baharu untuk menangani impak negatif COVID-19 ke atas wanita, secara umumnya. 

 

“Pada tahun lalu tidak dinafikan merupakan cabaran terbesar, namun ada hikmah di sebaliknya apabila ia menekankan semula kepentingan untuk mewujudkan strategi kelestarian yang kukuh dalam perniagaan kami. 

 

Tony Fenandes
Tony Fenandes

 

“Dalam pada itu, transformasi digital kami yang bermula sejak tahun 2018 berjaya dipercepatkan dengan melabur di dalam teknologi, seterusnya memberikan permulaan kepada kami dan kini menjadi aplikasi yang paling pesat membangun di ASEAN.

 

“Bagaimanapun, penerbangan kekal tulang belakang kepada perniagaan dan merupakan sebuah pengangkutan talian hayat untuk membantu membina semula ekonomi dan memulihkan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

AirAsia giat mempertingkatkan strategi kelestarian kumpulan, selepas setahun menyertai Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia.

 

Dalam laporan kelestariannya untuk tahun 2020, syarikat penerbangan itu meletakkan penekanan ke atas 10 elemen, didahului oleh Pengurusan Perhubungan Pelanggan, Teknologi dan Inovasi serta Kesihatan dan Keselamatan. 

 

Menerusi pengukuhan kesemua teras utama itu, kumpulan berhasrat untuk meningkatkan pencapaian enam matlamat SDG yang digariskan PBB.

 

Dari sudut persekitaran, AirAsia telah menyerahkan laporan pelepasan karbon pertama kumpulan kepada pihak kawal selia untuk menetapkan asas bagi program tindakan iklimnya di bawah Carbon Offset and Reduction Scheme for International Aviation.

 

Menerusi skim itu, AirAsia berhasrat untuk memperkenalkan langkah menghentikan pelepasan karbon secara sukarela di semua penerbangannya supaya dana daripada usaha berkenaan dapat digunakan untuk meningkatkan kerja perusahaan sosial dan pertubuhan bukan kerajaan dalam bidang perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan warisan. - DagangNews.com