AirAsia tidak jual data peribadi pelanggan kepada firma AS | DagangNews Skip to main content

AirAsia tidak jual data peribadi pelanggan kepada firma AS

AirAsia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengesahkan bahawa syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad tidak terlibat dengan dakwaan penjualan data peribadi pelanggan kepada firma di Amerika Syarikat (AS).

JPDP dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan selepas pihaknya menerima penjelasan daripada Kumpulan AirAsia mengenai laporan berkenaan.

"Pihak JPDP mengambil maklum bahawa tiada isu ketirisan dan penjualan data peribadi yang berlaku.

"JPDP juga berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan oleh pihak AirAsia berkaitan isu tersebut," jelas JPDP.

Terdahulu, terdapat laporan yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu, terdapat firma pemberi pinjaman bersedia menawarkan pinjaman sehingga AS$1 bilion (RM4 bilion) bagi perniagaan data syarikat penerbangan tambang murah tersebut.

Perkara tersebut mencetuskan perbalahan dalam kalangan pelanggan syarikat penerbangan itu susulan kebimbangan terhadap maklumat dan data peribadi masing-masing.

Tony bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemberi pinjaman di AS itu.

Dalam kenyataan yang sama, JPDP turut menegaskan bahawa perbuatan penjualan data peribadi merupakan satu kesalahan besar di bawah Akta 709.

"Sehubungan itu, jabatan ingin menegaskan sekali lagi bahawa perbuatan penjualan data peribadi adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

"Dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali. - DagangNews.com