KUALA LUMPUR 26 Jan - AirAsia X (AAX) mengumumkan kerjasama logistik udara bersama GEODIS bagi menyediakan kapasiti kargo tambahan serta meningkatkan pendapatan syarikat memandangkan penerbangan komersialnya tidak beroperasi buat masa sekarang.
Jalinan kerjasama itu ditetapkan untuk enam bulan pertama bermula Januari 2022 dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh usahasama itu.
Menerusi kerjasama itu, AAX akan menyediakan penerbangan kargo berjadual khusus secara tetap antara Kuala Lumpur dan Hong Kong, Chennai, Shanghai dan Sydney.
Ia dilihat akan memberi manfaat kepada rangkaian AAX sedia ada malah akan merangsang aliran trafik kargo udara dan mereka juga dapat meanfaatkan rangkaian darat GEODIS yang luas untuk memastikan kargo dari penerbangannya ke Singapura, Malaysia, Thailand dan Vietnam dapat dihantar ke seluruh Asia Tenggara.
Menerusi penyelesaian pengangkutan mod pelbagai yang bersepadu, GEODIS menyasarkan untuk membantu lebih ramai pelanggan bagi mengelakkan gangguan yang menjejaskan aliran kargo udara dan laut.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, perkhidmatan kargo mewakili 7% daripada jumlah pendapatan mereka sebelum pandemik COVID-19 dan ia telah menjadi talian hayat syarikat sejak dua tahun lalu.
Beliau menjangkakan, perkhidmatan kargo akan menyumbang sekurang-kurangnya 40 hingga 50% daripada jumlah pendapatan syarikat pada masa akan datang.
"Kadar kargo udara akan terus kukuh selagi penerbangan komersial tidak dapat beroperasi seperti biasa dan kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini.
"Kami mampu untuk memenuhi lonjakan besar dalam permintaan pengangkutan udara dan kadar penumpang pula dijangka mengimbangi sebarang penurunan kadar kargo apabila kami memulakan semula penerbangan berjadual seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Pasifik GEODIS, Onno Boots berharap dapat meneruskan kerjasama dengan AAX dalam usaha mengukuhkan rangkaian logistiknya pada masa akan datang.
“Laluan penerbangan intra-Asia Pasifik baharu ini mewakili komitmen berterusan kami untuk menawarkan penyelesaian yang dipercayai, inovatif dan kos efektif serta disesuaikan dengan apa yang diperlukan oleh perniagaan mereka.
"Ini membolehkan mereka mengoptimumkan sepenuhnya industri e-dagang yang berkembang pesat dan memacu pertumbuhan perniagaan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com