AirAsia X sambung semula penerbangan ke Sydney, tawar penebusan akaun kredit | DagangNews Skip to main content

AirAsia X sambung semula penerbangan ke Sydney, tawar penebusan akaun kredit

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 31 Jan - AirAsia X mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan komersialnya antara Kuala Lumpur dan Sydney bermula 14 Februari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, berikutan kejayaan proses penstrukturan semulanya, syarikat penerbangan itu juga akan menawarkan penebusan akaun kredit kepada para tetamu yang terjejas oleh penstrukturan semulanya.

 

Ujarnya, penumpang AAX boleh menempah semula penerbangan mereka dengan menggunakan akaun kredit.

 

"Berikutan masa henti perjalanan sejak dua tahun lepas dan proses penstrukturan kami yang telah selesai baru-baru ini, kami amat teruja kerana dapat melancarkan semula operasi secara beransur-ansur.

 

"Ini tidak mungkin terjadi tanpa sokongan kuat daripada para tetamu dan pemiutang kami dan kami mengucapkan ribuan terima kasih atas kesabaran dan kefahaman mereka.

 

“Tanpa sebarang laluan domestik, AAX telah terjejas dengan ketara oleh pandemik semasa. Kini, kami dapat melihat sinar di penghujungnya dan kami akan terus berusaha untuk memulakan operasi di semua pasaran utama kami sebagai salah satu pengendali jarak sederhana dengan tambang rendah terkemuka di dunia.

 

"Perkhidmatan mingguan baharu untuk para tetamu ini menandakan kejayaan penting dalam usaha kami untuk menyambung semula perkhidmatan komersial dan akan menyumbang kepada pertumbuhan selepas penstrukturan semula kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai permulaan katanya, penerbangan akan dikendalikan setiap minggu pada hari Isnin dari Kuala Lumpur ke Sydney dan kembali pada hari Selasa bermula 14 Februari 2022 hingga 22 Mac 2022.

 

Jadual penerbangan untuk sesi musim luruh / musim sejuk akan diumumkan pada pertengahan bulan Februari.

 

"Penumpang boleh menikmati tambang dari Kuala Lumpur ke Sydney bermula daripada RM1,399 sehala termasuk semua* untuk tempat duduk Ekonomi atau nikmati Premium Flatbed daripada RM3,999," katanya. -DagangNews.com